SIAPA BOHONG SIAPA FITNAH


Berani kerana benar, takut kerana salah dan sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan, janganlah sampai rakyat juga diheret untuk mempertahankan kesalahan kita. Menggunakan alasan difitnah dan musuh kita itu berbohong sememangnya mudah tetapi kasihanilah penyokong kamu yang bukan saja menjadi sasaran cercaan malah kelihatan amat bodoh.

Sudah-sudahlah menggunakan alasan kekalahan BN dan pemimpin-pemimpin UMNO dalam PRU14 disebabkan pembohongan dan fitnah isu 1MDB.

Apakah begitu mudah kerajaan Singapura mengambil tindakan terhadap rakyatnya bukan saja didenda malah ada yang dipenjara serta bank yang begitu lama beroperasi di negara tersebut diarahkan ditutup hanya berbekalkan fitnah dan bohong?

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) telah memberi notis kepada BSI Bank Ltd (BSI Bank) untuk menarik balik statusnya sebagai bank saudagar disebabkan perlanggaran serius keperluan anti pengubahan wang haram, pengawasan pengurusan yang lemah terhadap operasi bank serta salah laku teruk oleh sebahagian kakitangan bank itu.

Selain itu, MAS juga telah merujuk enam nama daripada pengurusan kanan dan kakitangan BSI Bank kepada Pendakwa Raya untuk menilai sama ada mereka telah melakukan kesalahan jenayah.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) juga sudah mengarahkan Falcon Bank menghentikan operasinya di republik itu berikutan kesilapan yang serius dalam kawalan anti pengubahan wang haram melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Siasatan dua tahun yang dilakukan Singapura atas salah laku kewangan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebabkan penutupan dua bank dan denda kepada lapan yang lain.

Bekas pegawai bank BSI Singapura, Yeo Jiawei dijatuhkan hukuman penjara 54 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pengubahan wang haram dan penipuan berkaitan dengan penyelewengan 1MDB. Sekiranya ia adalah fitnah dan bohong, perlukah Yeo mengaku salah?

Mahkamah Singapura juga menjatuhkan hukuman penjara 18 minggu ke atas bekas pegawai bank yang mengendalikan akaun bank BSI yang ada kaitan dengan 1MDB atas kesalahan pemalsuan dan gagal mendedahkan transaksi mencurigakan. Yak Yew Chee sebelum ini naib presiden kanan di BSI Singapura, juga pegawai bank persendirian kepada Jho Low yang digambarkan oleh pihak berkuasa Singapura sebagai individu utama dalam siasatan aktiviti pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Sebuah jet berharga USD30 juta (RM133 juta) yang dibeli menggunakan duit curi daripada 1MDB, dilaporkan telah tersadai di salah sebuah lapangan terbang di Singapura. Jet jenis Bombardier Global 5000 milik Jho Low yang menjadi 'dalang' di sebalik pencurian wang 1MDB, Jho Low sudah ditahan oleh pihak berkuasa Singapura di Lapangan Terbang Seletar, Singapura. Jet itu dilapor merupakan sebahagian daripada aset-aset haram yang dibeli menggunakan wang curi daripada 1MDB bernilai lebih USD1 bilion dan sedang dalam proses rampasan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, DOJ (Department of Justice).
Sementara itu, polis Indonesia pula bertindak menyita kapal mewah Equanimity selepas menerima surat daripada Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI) yang meminta bantuan Indonesia menguatkuasakan perintah mahkamah Amerika dan kemudiannya dikembalikan kepada kerajaan Malaysia.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) juga dilaporkan merampas lebih RM300 juta (AS$73 juta) yang menurut mereka diselewengkan ahli perniagaan Low Taek Jho daripada 1MDB.

Apakah semua ini fitnah dan bohong? Jika kamu mendakwa ianya fitnah dan bohong maka secara tidak langsung, kamu telah mengakui kehebatan Tun Mahathir yang mampu menyediakan skrip untuk dilakonkan oleh DOJ, kerajaan Singapura termasuk Jokowi presiden Indonesia.

Nampaknya seluruh dunia tunduk dan akur kepada arahan Tun Mahathir untuk mengenakan Najib dan UMNO. Jika benar begitu, walaupun Tun berniat jahat, seluruh rakyat negara ini wajib tunduk dan taat kepada beliau sebagai menghormati kemampuannya agar semua orang sebulat suara termasuk mahkamah negara asing untuk memfitnah dan berbohong bagi pihak Tun Mahathir. Bukan sahaja pemimpin dan negara sahabat patuh kepada kemahuan Tun Mahathir, negara yang jelas memusuhi beliau seperti Amerika dan Singapura juga menggigil melakukan apa sahaja yang diarah.

Ish! Ish! Ish! Saya amat teruja dengan kehebatan Tun berbohong dan memfitnah tahap cakrawala (kata Yahaya Ismail @ Pak ya) yang diikuti negara luar.

Itu belum lagi mengambil kira tindakan model Australia Miranda Kerr yang menyerahkan barang kemas bernilai AS$ 8.1 juta (RM35 juta) kepada Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat kerana didakwa hasil curian Jho Low dari 1MDB. Bukan itu saja, aktor Hollywood, Leonardo DiCaprio juga muncul secara rahsia di mahkamah Amerika untuk memberi keterangan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menambah keyakinan rakyat Malaysia yang waras bahawa isu 1MDB bukan rekaan adalah apabila DoJ mendakwa bahawa sejumlah AS$64 juta yang diselewengkan daripada dana 1MDB telah disalurkan kepada Red Granite, dan digunakan untuk membiayai penerbitan filem, termasuk 'The Wolf of Wall Street' pada 2013 yang diarahkan oleh Martin Scorsese.

Red Granite Pictures syarikat pengeluar filem yang dikaitkan dengan skandal 1MDB telah mencapai penyelesaian dengan kerajaan Amerika Syarikat dengan bayaran berjumlah AS$60 juta (RM234 juta). Bayaran itu sebagai pertukaran kepada aset Red Granite yang ingin dirampas oleh Jabatan Keadilan (DoJ) AS, melalui saman pelucutan sivil yang melibatkan 1MDB.

Mengikut penyelesaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite Riza Aziz anak tiri Najib hanya menerima gaji terhad untuk menampung insurans kesihatannya sehingga jumlah penyelesaian dibayar sepenuhnya.

Banyak lagi bukti-bukti berkaitan isu 1MDB ini yang mampu menangkis tohmahan Najib dan keledai-keledainya bahawa semua yang dilakukan selama ini bukan fitnah dan bohong.

Malu apa bossku kerana muka kamu sememangnya kelas tembok dan kulit biawak komodo sehingga apa saja yang diludah ke muka kamu ‘selamber rock’ sahaja dibalas dengan alasan FITNAH dan BOHONG. Apakah kamu menganggap rakyat yang bersama-sama Pakatan Harapan menumbangkan BN dalam PRU14 itu begitu bodoh untuk mempercayai FITNAH dan BOHONG?

“Pemimpin siapa saja yang menipu rakyatnya, tempatnya adalah neraka.” (Al-Jami’Ash-shaghir: I/20). Ingat tu bukan skrip Tun Mahathir tau! Sebodoh-bodoh tupai melompat, akhirnya makan tanah juga!


Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?