TEMPOH BULAN MADU


 Ini bukan masa berbulan madu lagi buat kerajaan PH dan barisan kabinetnya memandangkan tempoh mengambil alih kerajaan sudah pun melepasi waktu yang sepatutnya. 100 hari mungkin boleh diterima tetapi bukan setahun untuk mewajarkannya. Fantasia bulan madu itu cuma sebuah fantasi dendangan Amy Search untuk menghiburkan jiwa yang sedang lara tapi tidak untuk rakyat yang sudah lah lara, bahkan sengsara dengan inflasi dan kos sara hidup yang semakin sukar dikawal. Menteri KPDNHEP masih khayal dengan lagu dendangan Amy Search ini nampaknya. 

Saiz wang tetap sama tetapi nilainya mengecil dari sehari ke sehari. Oleh yang demikian, kerajaan yang diberi sepenuh kepercayaan untuk memulihkan keadaan ekonomi berpunca daripada rejim kleptokrat yang tanpa rasa ‘malu’ memunggah khazanah negara untuk memperkayakan diri masing-masing perlu responsif dan terkedepan merawat sakitnya ekonomi negara ketika ini.

Sekiranya penjawat awam khususnya di kalangan berpakaian seragam sudah pasti malu untuk mengatakan masih belajar untuk menyesuaikan diri dengan jawatan masing-masing dengan tempoh yang begitu lama. Silap-silap maki hamun yang menimpa jika memberi alasan masih belajar. Inikan pula jawatan menteri, timbalan menteri, exco kerajaan negeri dan yang setara dengannya dengan upah dan keistimewaan luarbiasa.

Kemerdekaan yang telah dikecapi hampir 62 tahun telah melahirkan begitu ramai menteri dan timbalan menteri yang semestinya tampil sosok yang cemerlang dan menjadi contoh dan sebutan rakyat sebelum ini. Tan Sri Ghazali Shafie atau lebih dikenali sebagai King Ghaz cukup terkenal dengan kemahiran beliau di Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri sehingga insiden Bangunan AIA ditawan Japanese Red Army (JRA) berjaya diselesaikan dengan gah oleh beliau. Pengalaman begini wajar dipelajari menteri-menteri yang ada bukan ‘gentel’ telur yang tidak gatal.
                          

Tan Sri Sanusi Junid begitu menyerlah sebagai Menteri Pertanian sehinggakan banyak sentuhan beliau ketika bergelar menteri dapat dirasakan sehingga kini. Pada awalnya ramai menganggap idea beliau lucu dan aneh tetapi siapa dapat menafikan kejayaannya dalam kempen makan kelapa muda yang dulunya terbiar begitu saja dan kini ramai mencari rezeki dan hidup senang dengan hasil kelapa muda. 

Termasuk juga dengan kempen makan ulam, kempen mengumpul tayar dijadikan tukun tiruan, projek ternakan ikan di bekas lombong, sistem tong plastik ikan sehinggalah kepada kempen kurang tidur untuk hidup lebih lama. Masakan tidak? Jika kurang tidur 2 jam sehari maknanya jika setahun 730 jam bersamaan 30 hari. Ini sudah tentu bermaksud hidup lebih lama sebulan daripada terus tidur dengan jumlah jam yang sama.

Sebelum Ibu Susi Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti kini tersohor dengan tindakan tegasnya terhadap pencerobohan nelayan asing, Tan Sri Sanusi sudahpun mengistiharkan perang terhadap pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia. Namun siapa menteri yang meneruskan usaha ini? Indonesia kini merupakan penghasil ikan tuna terbesar di dunia di mana merupakan pengeluar 16% ikan tuna seluruh dunia berpunca daripada ketegasan beliau menghujat kapal-kapal nelayan asing walaupun cuma seorang wanita. Apa jadi dengan menteri lelaki bertanggungjawab terhadap industri perikanan di negara ini? 
                              

Ketika menjadi Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid telah pun melancarkan program sesi bertemu dengan petani bagi menerangkan dasar-dasar pertanian negara kepada mereka. Sesi yang diadakan seluruh negara dalam tempoh setahun ini dibuat agar para petani memahami dasar-dasar tersebut bagi memudahkan mereka menyokong dasar-dasar kerajaan.

Mereka akan lebih faham dasar kerajaan melalui sesi dialog di mana pegawai pertanian akan turut hadir menjelaskan dengan bahasa mudah difahami. Kata Tan Sri Sanusi, kita tidak boleh merancang tanpa berhubung dengan petani di lapangan serta bertukar pandangan dengan mereka. Dari lawatan dan sesi dialog juga, kerajaan akan lebih mengatehui samada petani faham dengan dasar kerajaan dan ini membolehkan mereka menyumbang maklum balas terhadap dasar kerajaan.

Tambah Tan Sri Sanusi lagi, pemimpin akan bersama dengan petani di bawah khemah, makan dan berbincang serta bertukar pandangan berkaitan pertanian termasuk tanah terbiar, masalah dihadapi mereka, peluang serta harapan petani. Masalah jurang komunikasi dan jurang pengetahuan antara petani dengan kerajaan menjadi punca arahan dan dasar kerajaan sering menemui jalan buntu yang akhirnya langkah kerajaan menjadi sumbang.

Kenapa tidak menteri-menteri sekarang melakukan apa yang telah dirintis menteri terdahulu jika tidak berpengalaman? Pastinya semua tersimpan kemas di kementerian masing-masing dan paling tidak banyak tercatat dalam buku-buku yang melibatkan pemimpin berkenaan.

Jika semua kementerian dan menteri melakukan sesi dialog seperti ini melibatkan kumpulan sasar masing-masing, saya yakin tindakan ‘yoyo’ atau ‘u-turn’ dapat dielakkan dan mampu meningkatkan imej kerajaan dan pemimpin itu sendiri.

Sampai bila ego yang berkesudahan dengan syok sendiri akan berterusan? Program dan majlis dihadiri pemimpin khususnya menteri sekarang banyak dilihat lebih kepada program syok sendiri dan pentas menjulang dan menjilat menteri dan pemimpin oleh penganjur dan pegawai-pegawai menteri dan ini bukan caranya untuk memantapkan kerajaan PH yang menjadi tempat rakyat bergantung harap.

Kasihanilah Perdana Menteri keseorangan bertungkus lumus memastikan negara dan rakyat menikmati hasil perubahan pemerintah sedangkan yang lainnya berebut menjadi lembu kenyang.

Masih belum terlambat untuk berubah kerana belum ada kes tengadah dahulu sebelum terhantuk. Tetapi apa salahnya tengadah dahulu jika ianya memanfaatkan rakyat dan negara?

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?