TERORIS


Sehingga catatan saya ini dibuat, berita antarabangsa melaporkan jumlah korban serangan teroris di Sri Lanka sudah mencecah 207 orang dan 506 lagi cedera parah ketika seluruh dunia penganut Kristian merayakan sambutan Easter.

Sri Lanka dan terorisma bukan suatu yang asing kerana sebelum ini juga Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) yang cukup terkenal dengan kegiatan militan berpengkalan di Utara dan Timur negara tersebut.

Pemimpin dan pejuang LTTE bukan terdiri dari penganut agama Islam dan serangan kali ini jika dilakukan oleh orang Islam juga tidak wajar dikaitkan dengan Islam. Seperti disebut oleh Imam Besar Universiti al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb, "Perlakuan pengganas-pengganas ini bertentangan dengan ajaran semua agama."

Ketika negara diancam kegiatan teroris dari PKM ketika darurat juga mereka menyasarkan hari-hari kebesaran atau simbol kebesaran negara atau masyarakat. Tugu negara dibom dan Ketua Polis Negara turut menjadi sasaran.

Baru-baru ini di New Zealand juga umat islam ketika mula untuk bersolat Jumaat dibunuh dengan kejam. Ini bukan disebabkan pelampau Kristian atau agama apa sekalipun tetapi kegiatan teroris. Melakukan sesuatu yang menyasarkan orang awam, kanak-kanak, wanita dan orang tua itu adalah kegiatan teroris maka siapapun melakukannya adalah teroris dan tidak terkait dengan agama.

Pada 30 Januari 1948 yang menjadi hari dikenang seluruh bangsa India gara-gara Mohandas Karamchand Gandhi atau Mahatma Gandhi dibunuh kelompok radikal Hindu di New Delhi. Apakah wajar Hindu dilabel sebagai agama teroris?

Pada bulan Jun 1984, Indira Gandhi PM India dibunuh dua pengawalnya sendiri yang berasal dari kaum Sikh. Mereka dikatakan membalas dendam atas serbuan kuil kaum Sikh di Amritsar di mana lebih dari 450 kaum Sikh terbunuh. 5 bulan kemudian, Indira menjadi korban. Apakah Sikh agama yang menyeru kepada terorisma?

Pada tahun 1991, Rajiv Gandhi pula terkorban angkara tindakan seorang perempuan Tamil dari Sri Lanka, Thenmuli Rajaratnam yang dilaporkan sebagai pejuang LTTE mengalungkan rangkaian bunga ke leher Rajiv. Di pinggangnya ternyata dilekatkan bom dan Rajiv terkorban. Wajarkah agama dikaitkan dengan pembunuhan ini?

Hampir seluruh keluarga Gandhi mati dibunuh sepertimana keluarga Kennedy di Amerika Syarikat. Apakah ianya harus dikaitkan dengan agama?

Osama, Dr Azahari, Nordin Mat Top sudah meninggal dunia dibunuh pasukan terlatih tetapi ancaman terorisma terus kekal. Kenapa? Kerana sakit kaki, kepala dibedah!

Selamat Malam!

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?