BERGURU DARI SEJARAH
Tidak perlu merengkuh dan berpeluh mendaki Gunung Ledang bergurukan Adiputra kerana sejarah jiran tetangga sudah menjeling sejak lama untuk menabur bakti. Rakaman sejarah yang terpahat sebelum, semasa dan selepas Soeharto dimundurkan dari kerusi presiden Indonesia sehingga sekarang adalah saksi untuk dijadikan iktibar agar peristiwa sama tidak berulang di negara ini.
Menarik apa yang didedahkan Adian Napitupulu dan Wanda Hamidah mahasiswa garis keras yang membentuk gerakan menentang kekuasaan Soeharto sehingga tersungkur pada tahun 1998 dalam program bicara kelolaan Denny Siregar '
Ketika kita di negara ini melihat tumbangnya UMNO dan BN dipimpin Najib rejim kleptokrat sebagai kejayaan rakyat, jangan lupa tindakan yang jauh lebih penting adalah bertindak membersihkan saki-baki sampah dan bangkai yang masih tersisa di bawah meja, almari dan kabinet di merata sudut kekuasaan.
Kenapa kelompok menentang rejim Soeharto enggan menerima tawaran presiden ketika itu untuk berkompromi dengan mundurnya sang presiden? Kerana bagi mahasiswa garis keras yang kuat menentang rejim perompak harta rakyat Indoensia ketika itu enggan menerima syarat mewujudkan kabinet reformasi yang dilihat masih mempertahankan sampah dan bangkai-bangkai di zaman Pak Harto.
Tidak ketinggalan, 64 buah bank dirosakkan, di antaranya 313 cawangan bank dan banyak lagi. Jumlah kerugian fizikal akibat dari rusuhan Mei 1998 dianggarkan mencecah Rp2.5 trilion. Begitu besar yang dikorbankan dan pengorbanan peristiwa Mei 1998 tersebut tetapi jika tidak diambil sebagai wadah memperbetulkan yang salah, sia-sia pengorbanan tersebut.
Menurut rekod sehingga kini Soeharto belum didakwa cuma ada sedikit usaha ke arah itu. Harta kekayaan beliau, keluarga dan kroni-kroninya tidak dirampas dan tiada tindakan terhadap mereka termasuklah menantunya Prabowo yang menjadi calon presiden menentang Jokowi sebanyak 2 kali termasuk Pilpres 2014. Ketika insiden Mei 1998, Prabowo merupakan panglima unit khas komando yang menggerakkan unit-unit di bawah pimpinannya menuju Jakarta untuk menyelamatkan bapa mertuanya itu.
Indonesia bernasib baik apabila Habibie diangkat sebagai presiden, beliau menggantikan Prabowo dengan Letnan Jenderal Johny Lumintang, yang saat itu memegang jawatan Asisten Operasi Pangab. Prabowo yang berkeras mahu bertahan memegang jawatan tersebut mendakwa, "Ini suatu penghinaan bagi keluarga saya dan keluarga mertua saya Presiden Soeharto. Anda telah memecat saya sebagai Pangkostrad." Jawab Habibie, "Anda tidak dipecat, tetapi jabatan Anda diganti."
Kita di sini tidak sukar melihat keadaan seperti itu apabila Ainina Saadudin dan Kamarul Azman Habibur Rahman yang dahulunya begitu kuat mendokong Tun Mahathir dan PPBM tetapi kini menghentam dan memaki hamun perdana menteri dan PPBM dengan pusingan 360 darjah tanpa henti. Tidak sukar membuat telahan kenapa mereka bertindak sedemikian rupa.
“Janganlah tuan-tuan percaya kalau sejarah itu dikatakan satu sahaja, jangan-jangan ada lain perkara di sebaliknya" kata Faisal Tehrani. Banyak yang boleh digarap dan dihadam dari sejarah jika bukan mata sahaja terbuka bahkan hati, jiwa dan minda seharusnya lebih terbuka.
Benar kata Tun Mahathir 'Cash is King' di mana musuh-musuh yang menentang 'orde baru' yang sinonim dengan Soeharto sudah menjadi rakan mencabar Jokowi termasuklah Bapa Reformasi Indonesia Amien Rais. Kekayaan melimpah-ruah membutakan mata dan telinga dulunya musuh untuk bersekongkol dengan Prabowo bagi menjatuhkan Jokowi.
Kata Adian Napitupulu dan Wanda Hamidah, mungkin ada yang berpendapat jika sudah kaya-raya kenapa terus memburu kekuasaan? Tambah mereka, tidak mudah untuk manusia melupakan saat dihormati dan berkuasa di mana pintu kereta dibuka, makan-minum ditatang dan semuanya bagaikan hidup seperti raja. Tidak semuanya dapat dibeli dengan wang kecuali kekuasaan mampu meraih semua itu.
Jika sejarah apa yang berlaku di Indonesia sejak kejatuhan rejim Soeharto sehingga sekarang dengan tidak mengambil tindakan dan menyita kekayaan yang diperolehi secara salah oleh Pak Harto, keluarga dan kroni-kroninya turut berlaku kepada Najib, keluarga dan suku-sakatnya, tidak perlu menanti 21 tahun seperti di Indonesia, sebelum PRU15 sahaja gerombolan penyamun yang berkuasa dalam kerajaan kleptokrat akan bangkit semula mengambil alih kekuasaan negara ini. Usaha ini begitu penting bagi mereka untuk mengelakkan dari dicampak ke belakang jeriji penjara.
Berbilion wang dan harta yang dirompak dari khazanah negara oleh penyamun-penyamun ini di mana sekarang? Semua inilah senjata paling ampuh untuk menundukkan bukan sahaja rakan sejenayah, tetapi termasuk musuh politik yang akan menyertai kelab penyamun dengan redha. Bayangkan serban, ketayap dan jubah pun sudah terpelanting, inikan pula sekadar tudung Neelofa dan peminat boxer.
Petarung jalanan yang berkilau taring mencabar FRU selepas pemecatan Anwar seperti Che Gu Bard, Lokman Adam, Ruslan Kassim dan sewaktu dengannya pun boleh membuat pusingan UUUUUUU,,,, inikan pula cicak mengkarung.
Kerajaan Pakatan Harapan perlu bertindak segera dan tegas supaya bangkai-bangkai tikus dan sampah yang masih berada dalam kerajaan serta wang hasil menyamun oleh semua pemimpin, keluarga dan kroni mereka perlu disita bukan sahaja untuk melangsaikan hutang negara, tetapi juga mengelakkan menjadi senjata makan tuan seperti berlaku di Indonesia sekarang ini yang tidak dilihat apa tersirat untuk mengembalikan era 'orde baru' sehinggakan sudah kedengaran ada yang merindui zaman Pak Harto.
Apa kurangnya di sini apabila ada suara-suara jilatan daripada manusia gila dan separuh gila yang kononnya merindui zaman Najib dan UMNO. Isu diperalat dan ditunggang di negara jiran dan di sini juga tidak jauh bezanya apabila bangsa dan agama dipertaruhkan. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian hutanglah jawabnya.
“Janganlah tuan-tuan percaya kalau sejarah itu dikatakan satu sahaja, jangan-jangan ada lain perkara di sebaliknya" kata Faisal Tehrani. Banyak yang boleh digarap dan dihadam dari sejarah jika bukan mata sahaja terbuka bahkan hati, jiwa dan minda seharusnya lebih terbuka.
Namun, “Hanya mereka yang mengenal trauma, mereka yang pernah dicakar sejarah, tahu benar bagaimana menerima kedahsyatan dan keterbatasan yang bernama manusia” tambah Goenawan Mohamad.

Comments
Post a Comment