KEADILAN! DI MANA KAMU? YANG KUTEMU HANYA HAKIM DAN PEGUAM


Sebentar tadi saya berkesempatan membaca majalah Dewan Masyarakat terbitan November 1982. Apa yang menarik dalam majalah ini adalah petikan teks ucapan di pembukaan Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang ASEAN oleh Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dua perkara yang menarik perhatian saya daripada ucapan beliau itu pertamanya apabila beliau berkata, “..sungguhpun doktor dan peguam selalu tidak sependapat antara satu dengan lain, barangkali kerana peguam selalunya berhadapan dengan ‘urusan perbalahan’ sedangkan kami doktor dilatih supaya mententeram menenang dan mengubat…”

Keduanya apabila beliau merujuk , “.. dalam satu ucapan kepada peguam peguam Amerika, bekas presiden Amerika Syarikat Jimmy Carter pernah menyebut bahawa di negara itu ada ramai hakim dan ramai peguam tetapi kurang keadilan.”

Mengulas tentang peguam selalunya berhadapan dengan urusan perbalahan buat saya senyum sendirian terbayang ramai ahli parlimen yang tidak habis-habis berbalah di Dewan Rakyat yang kebetulan terdiri dari peguam. Lebih ketara apabila sekarang ini ada seorang peguam yang menggunakan nama Buzze Azam di FB tidak henti-henti menyerang tahap menghina dan kurang ajar terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Pakatan Harapan. Janganlah jadikan pengalaman memalukan cuma mampu mendapat 73 undi bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Pandan (P100) untuk melampiaskan kemarahan dan kekecewaan beliau.

Peguam perlu jiwa yang kental dan tidak mudah koyak sehingga memerlukan tisu untuk dijadikan perkakas merakam video pendek untuk menyindir musuh sendiri. Walaupun sering terbaca dan didengar kononnya kalau tak putar bukan peguam jangan sampai kentang putar pun angkat bendera putih.

Yang lebih mengujakan saya tentang ada ramai hakim dan ramai peguam tetapi kurang keadilan. Nampaknya, mereka bukan saja ramai tetapi kurang keadilan, tetapi ada masanya menjadi punca rakyat tidak mendapat keadilan. Semakin kuat putar, semakin jauh keadilan dari rakyat. Tipu RM100 dipenjara setahun sebaik dihadapkan di mahkamah tetapi berpuluh bilion ringgit mencuri, bertahun lamanya ke sana-sini bertali leher dan suit tersengeh macam kerang busuk belum dijatuhkan hukuman.

Memang benar proses keadilan mempunyai tingkat dan proses yang panjang, tetapi ‘standar ganda’ yang diamalkan menjadikan rakyat melihat ketidakadilan milik marhaen sedangkan yang kaya raya dan berjawatan tinggi membolot hak melepaskan diri dari perlakuan jahat dan perbuatan yang menjahanam dan merugikan rakyat.

Kata Pramoedya Ananta Toer, “Setiap ketidakadilan harus dilawan, walaupun hanya dalam hati.” Kata-kata ini mengingatkan saya pada Natsume Sōseki novelis Jepun yang luar biasa di zaman Meiji, “Hanya kerana seseorang pandai berargumen, tidak bererti orang itu orang baik. Sama halnya seseorang yang dikalahkan dalam argumen adalah orang jahat.”

Seperti apa yang pernah diungkap Devania Annesya, saya sepenuhnya bersetuju pendapatnya, “Ada hal-hal yang ingin aku lupakan saat -saat di mana aku merasa dunia tidak adil dan tak ada seorang pun yang menuntut keadilan untukku.”

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?