PILIHAN RAYA KECIL (PRK) SANDAKAN


Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee telahpun diumumkan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan dengan majoriti 11, 521 selepas memperoleh 16,012 undi menewaskan calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491 undi).

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Wong Tien Fatt bapa Vivian Wong yang juga Pengerusi DAP Sabah, menang dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi berbanding 8,996 undi diperoleh lawannya daripada Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon LDP, Datuk Lim Ming Hoo.

Peratusan keluar mengundi PRK Parlimen Sandakan menunjukkan penurunan dengan hanya 54.4 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab kali ini berbanding 72.1 peratus pada PRU-14.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51 peratus merangkumi pengundi Cina dan 45 peratus pengundi Bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Sepintas lalu sudah memperlihatkan bahawa BN khususnya UMNO dan PAS sesekali tidak mampu bertarung di gelanggang di mana jumlah pengundi bukan Melayu atau Bumiputera Islam melebihi 40% kerana hasilnya pasti akan tersungkur.

Lain padang lain belalang dan keangkuhan BN terutamanya UMNO dan PAS yang berkokok siang malam bersama pentaksub mereka atas kemenangan 3 PRK berturut-turut sebelum ini dengan sindiran 3-0 hatrik tanpa jujur membuat analisis berhubung kemenangan tersebut. PRK sebelum Sandakan di DUN Rantau, Negeri Sembilan melalui pemangku presiden UMNO Mohamad Hassan walaupun bergelar bekas menteri besar di negeri itu sebenarnya gagal memperlihatkan keunggulan kerana dengan dokongan penuh PAS pun, undi kedua-dua parti diperolehi dicampur menunjukkan makin merosot.

Seperti pernah saya ulas sebelum ini bahawa sebenarnya sudah ada 7 PRK sebelum PRK Sandakan ini dan 4 PRK sebelum itu semuanya dimenangi PH tetapi dibisukan sahaja untuk kelihatan gah berkokok. Tiga kemenangan itupun sebenarnya bukanlah kejayaan besar seperti digembar-gemburkan.

Dalam PRU14 lalu, PAS dan UMNO merangka strategi supaya berlaku pertembungan 3 penjuru dengan PH yang diramalkan akan berpihak kepada BN gara-gara persempadanan semula yang dilakukan secara tergesa-gesa untuk menang walaupun dibantah.

Namun dengan izin Allah, walaupun persempadanan semula dilakukan diiringi bantahan, nampaknya senjata telah makan tuan sehingga mereka menyepak dahi sambil berkata kita akan menang jika tidak berlaku pertembungan 3 penjuru. Mereka yang merencanakan demikian dan mereka juga menyalahkan rencana sendiri. Pekat sungguh kebodohan UMNO dan PAS sehingga langsung tak campur air meminjam komen seorang ‘facebookers’ yang saya baca siang tadi.

UMNO dan PAS perlu bermuhasabah bahawa kad perkauman dan agama tidak selalunya laku walaupun harganya harga lelong. Tambahan pula, seperti kata penganalisis, "Sandakan memang bukan padang PBS kerana sejak 1995 lagi, komponen BN yang bertanding di kerusi parlimen ini terdiri daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Gerakan."

Sabah dan Sarawak udara demokrasinya segar sesegar susu lembu baru diperah. Setakat kentut bangsa dan sendawa agama yang dihalakan dalam pilihanraya di Sabah dan Sarawak adalah kesilapan besar. Bau busuk kentut agama dan sendawa agama secara rasionalnya hanya menyebabkan pengundi bertempiaran lari sambil memekup hidung tidak tahan bau busuk. Kentut bangsa dan agama hanya berjaya menghasut spesis samada hidung tersumbat, bodoh atau gila.

Sabah dan Sarawak sudah subur politik kepelbagaian kaum sejak begitu lama dan walaupun isu kaum dan agama tidak dihembus begitu kuat di sana, apa yang ditempik dan dicanang di semenanjung jelas berdengung di Negeri Di Bawah Bayu tersebut. Zaman dunia tanpa sempadan masih ada yang tolol mahu berdrama depan lain belakang lain. Seperti pesan Tun Mahathir Perdana Menteri, sudah-sudahlah menggunakan isu kaum dan agama dalam berpolitik.

DAP bukan sahaja menang dalam PRK ini, malah dilihat berjaya menembusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sim Sim dan Pulau Berhala yang dilihat sebagai kubu kuat BN. Dua PDM ini mempunyai jumlah pengundi beragama Islam tertinggi di kawasan itu. Sekiranya DAP menawan kedua-dua daerah mengundi tersebut, ia bermakna mereka 'menyapu bersih' kesemua 17 PDM di Sandakan.

UMNO dan PAS terus memalu hasutan mereka bahawa Pakatan Harapan sudah ditolak majoriti rakyat kerana gagal menunaikan manifesto dalam PRU14 yang lalu. Rakyat tidak sebodoh pemimpin UMNO dan PAS kerana mereka cukup faham tahap kerosakan yang berlaku akibat tinggalan rompakan berjamaah Najib dan gerombolan malingnya sepanjang berkuasa. Rakyat rela dan redha memberi peluang Perdana Menteri dan kabinetnya membaiki kerosakan itu sebelum dapat menuai hasil seperti yang diharapkan.

Yang mengeluh dan bising-bising itupun sebenarnya mereka yang mengundi UMNO dan PAS serta cybertrooper kedua-dua parti itu dan juga Najib. Seperti yang disebut oleh Mohamad Sobary dalam bukunya ‘Moralitas Kaum Pinggiran’, "keluhan sebagian orang tak bisa mengalahkan kepentingan semua orang. Pendeknya, apapun persoalannya, aturan tetap tegak macam tugu Monas.”

UMNO walaupun ketika hayatnya 61 tahun berkuasa sudah terkangkang tersembam mencium kaki sendiri. Tempoh ini tidaklah begitu lama jika mahu dibandingkan dengan dinasti-dinasti paling hebat yang akhirnya rebah gara-gara lupa diri.

Apa yang berlaku mengingatkan saya dengan apa yang pernah saya tulis satu ketika dulu dalam blog yang dipetik dari kata-kata Prie GS budayawan dan penulis Indonesia, "Negara pun serupa perusahaan. Generasi pertama merintis, kedua membesarkan, ketiga pesta pora". Ini seiring dengan apa yang disebut Ibnu Khaldun tokoh pemikir Islam terkemuka yang merupakan bapa sosiologi dan ahli sejarah tentang hal yang sama.

Ketika BN berkuasa, rakyat telah ditanam dengan budaya dan pemikiran menerima rasuah dan menggelapkan harta rakyat sebagai sesuatu yang biasa sehingga rakyat sudah hilang rasa sakit ditipu dan diperbodohkan.

Seno Gumira Ajidarma menulis dalam bukunya 'Surat Dari Palmerah', "Sejak kecil kita dibiasakan untuk percaya, bahawa orang jahat tempatnya berada dalam penjara. Setelah dewasa kita melihat sendiri, banyak juga orang baik-baik di dalam penjara, sebaliknya orang jahat bebas berkeliaran, dan disebut orang baik-baik. Mereka disebut birokrat, teknokrat, pengusaha, bahkan juga kadang-kadang disebut cendiakawan."

Sudah sampai masanya penyangak, jemuan, maling, penyamun, koruptor dan ‘nangoi-nangoi’ diajar dan beri hukuman setimpal. Ini negara punya undang-undang dan negara hukum yang perlu dipatuhi oleh semua rakyat tanpa mengira kedudukan, bangsa, agama dan jantina atau muda dan tua.

Salah tetap salah dan perlu berdepan neraca keadilan. Undang-undang dan hukuman seharusnya buta warna tanpa memilih bulu kerana tugas memilih bulu itu tugas tukang pilih bulu bukan hakim, bukan Perdana Menteri, bukan menteri, bukan ulama’, bukan pemimpin parti politik atau cendiakawan. Rakyat mengundi memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan untuk memperjuangkan hak rakyat bukan perjuangan sekerat dua manusia atau yang perasan dewa.

Negara sudah mencapai kemerdekaan dan sudahpun berada pada landasan yang betul, tidak perlu lagi pemimpin dan barisan kepimpinan yang ada untuk menjadi pahlawan. Seperti kata bekas Gubernur DKI Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, "Pahlawan Sekarang Tak Perlu Korbankan Nyawa, Cukup Tidak Korupsi Saja".

Jampi serapah Najib dan Bung Mokhtar sambil berduet lagu ‘Anak Kampung’ oleh Jimmy Palikat ketika berkempen dalam PRK Sandakan semalam rupanya lebih mengundang sial dari tuah.

Selamat Bersahur…




Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?