TEKNIK RISIKAN
Teknik perisikan sesungguhnya amat penting untuk difahami dan ditelusuri serta dimanfaatkan dalam kehidupan seharian. Ia bukan milik eksklusif agensi perisikan sahaja kerana tanpa ilmu seperti ini, maka berlakulah keadaan sepertimana yang sering berlaku sekarang.
Tambahan dalam lambakan dan timbunan pelbagai maklumat samada mentah, yang dikelirukan dan mengelirukan dalam gerabak yang ditarik oleh pihak-pihak berkepentingan akan mengakibatkan ramai menjadi mangsa.
Mangsa dan memangsakan itu biasa dalam politik tetapi kita sebagai rakyat yang waras dan matang perlu bijak memilih mana berita yang boleh dipercayai dan jauh lebih penting untuk dipanjangkan.
Sikap ambil mudah dengan menganggap semuanya betul dan tidak memberi dampak negatif pada orang lain antara punca utama semua ini berlaku.
Jika kita mengambil pendekatan yang diambil melalui teknik perisikan ini yang disebut proses risikan atau kitaran risikan, insyallah kita akan lebih berhati-hati dan hanya berkongsi hal-hal yang diyakini benar.
Pertama sekali kita harus merancang untuk mengetahui apa sebenarnya yang kita perlukan. Dengan ini kita tidak akan tertekan dan kelelahan mengusung lebihan bagasi maklumat yang boleh dianggap tahap sampah.
Dari sinilah langkah awal dilakukan untuk mengutip maklumat atau disebut intelligence procurement untuk dijalankan langkah seterusnya. Dalam proses memperolehi maklumat ini, banyak alat boleh digunakan samada melalui sumber manusia, satelit, gajet-gajet yang ada sekarang dan banyak lagi untuk membantu.
Langkah seterusnya kita akan memproses maklumat mentah yang diperolehi itu supaya mudah untuk kita fahami dan menyusun serta mengklasifikasikan maklumat itu menurut tingkat kebolehpercayaan samada sumber itu sendiri atau maklumat tersebut. Jika dalam agensi perisikan biasanya mempunyai 'grading' terhadap sumber dan maklumat diperolehi.
Kemudian menuju lankah lebih penting di mana kita akan menganalisa maklumat itu dengan cara membandingkan dengan maklumat sebelum ini dan maklumat lain bagi menumbuhkan keyakinan maklumat itu tepat. Ada kemungkinan banyak maklumat yang sama tetapi asalnya daripada satu sumber yang penipu mencipta maklumat untuk tujuan 'disinformasi'. Oleh itu perlu berhati-hati dalam peringkat ini.
Langkah akhir barulah kita 'disseminate' dengan jayanya setelah berpuas hati dengan maklumat yang kita perolehi. Terpulanglah pada 'end user' untuk berfikir samada menerima ataupun sebaliknya.
Kongsilah apapun asal ianya benar dan bermanfaat kepada bangsa, agama dan masyarakat.
Sama sahaja antara agensi perisikan dan marhaen seperti kita jika tidak gelojoh. Waspada dan berprasangka itu penting walaupun sering dibaca atau didengar tak baik buruk sangka. Jika tidak kerana buruk-sangka, agensi perisikan tidak akan wujud.
Salam Ramadan

Comments
Post a Comment