TUHAN TIDAK PERLU DIBELA
Isu Islam semakin terancam di negara ini semakin hari semakin giat dikipas dan dibakar oleh golongan yang begitu terdesak untuk menunggang agama dan bangsa bagi mencapai niat terselindung. Macam tukang jual satay pulak! Bukan sahaja parti politik seperti UMNO dan PAS menjadikannya sebagai ‘lastik’ membedil dan menggoyahkan Pakatan Harapan serta saf pimpinannya, NGO juga tidak ketinggalan khususnya Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Bagi yang sudah memahami sepak terajang politik, mereka tahu NGO-NGO ini juga sebenarnya digerakkan oleh orang politik dan dipimpin oleh mereka juga. Jadi sketsanya sama seperti botol kicap saja berbeza tetapi datang dari kilang yang sama.
Sebagai umat Islam dan bangsa juga sama seperti mereka, sudah pasti kita juga merasa agama dan bangsa kita perlu dipertahankan tetapi janganlah sampai ianya diperkudakan semata-mata untuk memastikan dendam terbalas dan kekalahan dalam PRU14 itu masih tidak boleh diterima. ‘Move on’ lah kerana sudah setahun lebih bergelar pembangkang, anggap itu sebagai iktibar buat siapa pun yang lupa diri dan mengkhianati amanah rakyat.
Seperti pernah disebut mantan Presiden Indoensia Abdurrahman Wahid atau akrab disapa Gus Dur dalam bukunya berjudul 'Tuhan Tidak Perlu Dibela', "Islam perlu dikembangkan, tidak untuk dihadapkan kepada serangan orang. Kebenaran Allah tidak akan berkurang sedikit pun dengan adanya keraguan orang. Maka ia pun tenteram. Tidak lagi merasa bersalah berdiam diri.” Tulis Gus Dur di bahagian akhir artikelnya. "Tuhan tidak perlu dibela, walaupun juga tidak menolak dibela. Berarti atau tidaknya pembelaan, akan kita lihat dalam perkembangan di masa depan.".
“Allah itu Maha Besar. Ia tidak perlu memerlukan pembuktian akan kebesaran-Nya. Ia Maha Besar karena Ia ada. Apa yang diperbuat orang atas diri-Nya, sama sekali tidak ada pengaruhnya atas wujud-Nya dan atas kekuasaan-Nya," tambah Gus Dur.
Jangan kita mudah mengatasnamakan Tuhan dan agama dalam sebuah gerakan tidak kita atas nama NGO atau parti politik. Harus diingat bahawa manusia perlu sedar bahawa Tuhan itu Maha Besar dan Maha Segalanya, yang tak perlu dibela dengan berapi-api kerana boleh jadi kita bukan sedang membela Tuhan, melainkan membela kepentingan dan pandangan kita sendiri.
Jangan sesekali kita menuhankan agama kerana Tuhan kita adalah Allah swt bukannya agama. Agama itu begitu luas dan mudah jangan dipersulitkan. Menarik ulasan Gus Dur, “Tuhan tidak perlu dibela. Dia sudah maha segalanya. Belalah mereka yang diperlakukan tidak adil." Sebaliknya kita pula seringkali lupa menempatkan siapa yang harus kita bela. Yang sepatutnya dibela kita injak-injak tetapi yang Maha Kuasa pula kita bingkas konon mempertahankannya dengan cara bukan saja tidak sesuai dengan keindahan Islam malah menggerunkan bukan Islam untuk mendekatinya. Islam akan menjadi kuat dengan bertambah umatnya tetapi bukan sahaja tidak bertambah malah dengan mengkafirkan umat Islam yang tidak sehaluan ertinya mengecilkan jumlah umatnya.
Kita harus belajar tentang toleransi dalam beragama serta merawat toleransi yang merupakan inti dalam mencipta hubungan antara umat beragama. Islam hidup dan berkembang apabila umatnya faham dan mengamalkan kehendak agama itu dengan bijak dan berhemah. KH Mustofa Bisri yang lebih dikenali sebagai Gus Mus berpesan, “Tuhan itu sebenarnya enggak butuh kita. Kalau se-Indonesia ini mahu jadi kafir semua, Tuhan juga enggak akan bermasalah.”
Nabi Nuh AS Ia diutus oleh Allah SWT untuk mengajak kaumnya menyembah Allah SWT. Selama lebih dari 900 tahun berdakwah kepada tiga generasi dari kaumnya, Nabi Nuh AS hanya berjaya mengumpul pengikut sebanyak 70 orang dan lapan anggota keluarganya. Apakah Islam semakin lemah dan terancam dengan kenyataan ini?
Begitu jugalah dengan kita di sini, menjaga kesucian Islam itu bagus, tetapi lebih bagus jika Islam itu dijaga daripada dibiarkan diserang gara-gara perbuatan kita sendiri. Islam itu agama wahyu datangnya dari Allah swt Maha Berkuasa dan Maha Perkasa. Apakah kita sebagai umat Islam ragu-ragu dengan kekuasaannya?

Comments
Post a Comment