BILA LATHEEFA BERPAKAIAN


Ada yang bilang apa ada pada pakaian dan ada yang menyebutnya 'pakayan'. Tanpa pakaian pastinya manusia sudah kembali ke zaman batu dan sudah muflis harga diri.

Sehari dua ini gempar soal pakaian seragam dipakai KP SPRM Latheefa Koya dan secara khususnya pemakaian riben perkhidmatan. Saya tidak mahu bercakap soal ketertiban atau protokol mahupun etiket pemakaian pakaian seragam secara panjang lebar sementelah ianya telahpun dijawab oleh beliau sendiri.

Polemik tidak diundang ini saya kira hanya akan bertambah menggelegak jika saya menambah apinya. Apa yang mahu saya ketengahkan di sini lebih kepada hal lebih besar dan holistik dalam soal pemakaian pakaian seragam dan menjadi isu terpendam yang didiamkan atau ada yang buta dan segelintir yang pekak dalam soal ini.

Latheefa Koya orang baru dalam agensi berpakaian seragam seharusnya ada yang menasihati beliau sebelum berbangkit isu ini. Saya sendiri dulu yang sering berpakaian seragam pun sebelum keluar dalam perbarisan akan ada pegawai bawahan yang melihat kalau-kalau ada yang tidak kena mungkin butang terbalik atau lanyard salah tempat. Ini pula KP SPRM yang masih baru dan didatangkan dari luar agensi dibiarkan begitu saja.

Petang tadi saya sempat berbual dengan narasumber terkait isu ini. Nampaknya, bacaan saya agak tidak jauh tersasar selama ini sebaik lantikan Latheefa Koya ke kerusi panas tersebut.

Latheefa Koya bukan sahaja menjadi sasaran pihak luar khususnya politisi dan barisan koruptor, malah beliau dilihat turut menjadi 'target' pihak dalaman SPRM yang menanti detik untuk 'mengenakan' beliau. Dari perbualan dengan narasumber itu, ramai di kalangan pegawai agensi tersebut tidak berpuashati dengan lantikan beliau di sana.

Telahan saya kemungkinan besar disebabkan lantikan bukan di kalangan mereka sendiri dan cara menunjukkan lantikan tersebut tidak tepat adalah dengan memperlihatkan Latheefa kurang pengalaman dan pengetahuan tentang agensi tersebut.

Apabila saya mengulas mengenai pujian pihak wartawan terhadap sidang media pertama :Latheefa Koya sebagai KP SPRM, narasumber agak terkejut kerana reaksi di kalangan pegawai SPRM agak negatif seolah-olah beliau perlu merujuk ke sana-sini ketika sidang media sedangkan wartawan memuji pendekatan tersebut sebagai sesuai dengan bidang masing-masing.

Latheefa Koya perlu menggandakan usahanya membersihkan agensi tersebut dari pengaruh syaitan-syaitan yang masih berkiblatkan NajibulKorup sehinggakan pemilihan 'bodyguard' KP SPRM dari PDRM pun dianggap sebagai refleksi ketidakpercayaan Latheefa terhadap pegawai-pegawai SPRM sendiri.

Apabila lantikan oleh CEO Kerajaan Malaysia iaitu Perdana Menteri sendiri mula dipersoalkan, maknanya agensi tersebut bergelumang masalah besar. Defisit kepercayaan terhadap Perdana Menteri sebenarnya isu besar yang perlu ditangani segera sebelum nasi sudah menjadi 'najis'.

Apabila disoal kenapa tidak ada yang memberi nasihat soal pemakaian riben dan pakaian seragam tersebut oleh KP SPRM dan kenapa Azam Baki tidak melihat soal itu? Secara jujur beliau berkata mungkin itu cara Azam Baki nak kenakan Latheefa Koya yang sudah saya 'cium' sejak awal.

Malah di kalangan orang dalam sendiri seperti mempertikaikan kenyataan media Latheefa dalam menjelaskan isu tersebut khususnya Perintah tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Tidak apalah, kita harus fikir hal lebih penting iaitu mengenai pakaian seragam bukan sahaja SPRM tetapi semua agensi yang berpakaian seragam. Harus diingat bahawa pakaian seragam bukan boleh dipakai sembarangan dan disebabkan itulah adalah menjadi kesalahan memakai pakaian yang menyerupai tentera atau polis. Pakaian seragam perlu diwartakan sebelum boleh dipakai dan di dalam PDRM atau ATM pun semua jenis pakaian perlu diwartakan bukan sembarangan suka-suka ditempah dan dibuat untuk pemakaian. Ini termasuk juga pakaian istiadat dengan nombor, 1,2, 3, 4 dan seterusnya.

Berdasarkan akta sedia ada, Seksyen 140 Kanun Keseksaan menyatakan sesiapa yang bukan askar, kelasi atau juruterbang dalam perkhidmatan tentera, memakai pakaian atau membawa apa-apa tanda menyamai seorang askar, dengan niat menyamar askar boleh dihukum tiga bulan penjara, denda RM1,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) pula menggariskan satu kesalahan iaitu mereka yang memiliki secara haram barang kepunyaan askar atau polis boleh dikenakan denda tidak lebih RM50 atau tidak lebih enam minggu penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu mengikut Seksyen 25 akta sama, ia menyebut secara umum iaitu peniruan warna atau lambang yang menyamai seragam tentera atau polis boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM50 atau pakaian yang dipakai dilucut haknya.

Manakala Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), Seksyen 9. (1) pula menyebut penggunaan atau pemakaian tanpa kuasa yang sah uniform tentera atau polis atau apa yang seumpamanya hingga mampu memperdaya, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun, boleh dikenakan.

Ini semua agensi sudahlah tidak dapat dipastikan samada sudah diwartakan atau tidak, warnanya pula kebanyakan sama dengan PDRM berwarna biru gelap. Kekeliruan sebegini memudahkan kegiatan penyamaran oleh penjenayah. Ditegur nanti datanglah berjamaah menghentam konon kita berlagak pandai.

Lihat sahaja Rani Kulup dan balaci-balacinya dengan pakaian sedemikian yang saya penuh yakin tidak diwartakan. Yang aneh, tidak pula beliau diambil tindakan kerana memakai pakaian menyerupai tentera dan polis.

Sudah sampai masanya semua agensi kerajaan yang berpakaian seragam disemak samada pakaian tersebut sudah diwartakan atau sebaliknya selain daripada kesesuaian warna yang saling menyerupai antara satu sama lain. Seperkara lagi, jika mahu berpakaian seragam, pastikanlah ianya kemas dan segak bergaya. Jangankan soal buncit, boroi, buntal, pendek, lebar dan sebagainya, rambut pun ada yang panjang, berjambang tidak terurus. Kamu bukan kelasi kapal perlukan jambang untuk berpakaian seragam. Pakai beret pula tak ubah macam tukang masak M. Zain filem Labu Labi.

Tidak akan berlaku sesuatu tanpa izinnya dan sudah tentu apa yang berlaku ini punya hikmah besar di sebaliknya. Yakinlah dengan diri sendiri bahawa masalah begitu banyak muncul di zaman ini kerana, "orang yang rendah ilmu banyak bicara, orang yang tinggi ilmu banyak terdiam."

Jangan biarkan pemimpin kusam dan berkelarah menentukan nasib bangsa dan negara kerana kata William Fulker, “Jangan pernah takut untuk mengangkat suara anda untuk kejujuran dan kebenaran serta kasih sayang melawan ketidakadilan, kebohongan dan keserakahan.”

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?