TOPENG KEMUNAFIKAN SUDAH BERGUGURAN
Ketika Pakatan Harapan (PH) mula membentuk kerajaan yang diterajui Tun Mahathir, beliau menyangka semua mereka yang telah dikenakan tindakan atau ditukar dalam keadaan mencurigakan itu adalah mangsa kerakusan Najib.
Selain memulangkan semula hak mereka yang dianggap menjadi mangsa, Tun mengandaikan mereka ini orang-orang hebat yang menjadi korban kedurjanaan Najib dan gerombolan maling.
Sejak awal lantikan kesemua mereka, saya selalu bermonolog tentang orang-orang ini yang sebelum mereka dikuncupkan kuasa dan disejuk-bekukan, apa yang mereka lakukan untuk menghentikan kegelojohan Najib dan rakan sejenayah? Mereka hanya bertempik dan menyalak setelah terkena minyak panas tetapi sebelum itu, mereka juga sebahagian dari sistem dan lingkaran kleptokrat yang saling memperkukuhkan kuasa Najib hingga ke akar tanpa menyangka semua kuasa yang dihembus ke dalam tubuh Najib akan memakan diri mereka sendiri.
Namun sebaik terkena sumpahan dan sihir, pesona serta guna-guna Najib dan pasangan sanggul sarang tebuannya itu, barulah mereka terbeliak dan juling biji mata dengan air mata darah. Walaubagaimanapun, nasib menyebelahi mereka apabila rakyat memihak kepada Tun Mahathir menendang keluar syaitan-syaitan ini dari koridor kekuasaan di Putrajaya. Yang kononnya 'korban' dan 'mangsa' ini mendapat durian runtuh dan diagambarkan seolah-olah Hang Tuah dibawa pulang oleh Bendahara untuk mengembalikan keamanan negara dari amukan Jebat dianggap derhaka.
Impian tak selalunya sama seperti realiti kerana kemunafikan akhirnya akan terserlah. Seharusnya rakyat melihat dan merenung kenapa kuasa Najib ketika sebelum direbahkan begitu menyala? Bagi saya kerana hampir semua yang berada di agensi yang bertanggungjawab dalam semua bidang yang memberi peluang untuk Najib mengajar musuh-musuhnya sudah dianggapnya sebagai hamba-abdi disuruh pergi dijerit berlari bagaikan pengemis. Disebabkan itulah Najib tanpa rasa segan-silu berani bertindak terhadap mereka ini kerana beliau menganggap sudah makan di tapak tangan, pandai-pandailah menjaga diri. Sekilas riak di air menampakkan ketidak-taatan, Sang Kelembai tanpa kasihan akan sumpah menjadi batu.
Namun demikian, setelah mereka bernasib baik dianugerahkan durian musang king, apa dihajat oleh rakyat dan Tun untuk memulihkan negara dari rasuah, jenayah, pemulihan ekonomi dan sebagainya bagi memenuhi janji PRU14 nampaknya umpama kura-kura berjalan. Semuanya disebabkan beban bai'ah oleh penerima durian runtuh ini dulunya bukan sahaja dengan Najib tetapi juga rakan sejenayah masih melekat di hati dan sanubari. Dalam diam, pentas bangsawan hanya memperlihatkan bilis dan yang tidak seiman dan semahzab menerima pembalasan sedangkan sasaran sebenar bagaikan melepaskan batuk di tangga.
Oleh itu, tak perlulah riuh rendah dan menyalak sehingga memerlukan 'Sore Throat Lozenges' apabila Tun melantik KP SPRM yang baharu. Pandangan orang yang mengetahui masalah sebenar dengan yang hanya melihat kulit tidak sama dalam membuat keputusan. Apa lagi keputusan tersebut adalah prerogatif Perdana Menteri. Buat kerja sendiri dengan jujur dan amanah itu lebih wajar dari menyibuk bidangkuasa Perdana Menteri.
Jangan terlebih lajak dari laju bimbang tercampak ke dalam gaung. Kalau jodoh tak ke mana, maka rakyat juga faham jika bodoh akhirnya di situ juga. Kata G. K. Chesterton, “We ought to see far enough into a hypocrite to see even his sincerity.” Topeng kemunafikan sedang luruh satu-persatu dan rakyat bersabarlah menonton teater percuma ini.

Comments
Post a Comment