BINA SEMULA TIDAK SEMUDAH MERUNTUH


Mengenang kata-kata Dr. Burhanuddin dalam Kongres PKMM ke-2, di Melaka pada Disember 1946;

Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka

Walaupun menumbangkan rejim terdahulu ketika berkuasa itu bukan kerja mudah, namun membina semula negara di atas runtuhan di tapak sama adalah jauh lebih sukar. Segala pengorbanan samada di kalangan pemimpin yang ada sekarang ini ditunjangi sebahagian besar rakyat sesungguhnya merupakan sesuatu yang amat dihargai dan disambut penuh kesyukuran.

Namun setelah rejim kleptokrat yang mencipta sejarah bukan sahaja di negara ini bahkan di seluruh dunia ini tumbang, fasa lebih penting adalah memulihkan negara dari kesan rompakan berjamaah lagi sistematik ini. Kerja besar ini bukan kerja Perdana Menteri seorang dan ia amat memerlukan kerjasama seluruh Menteri dan Timbalan Menteri kabinet beliau disertai jentera parti bagi melicin dan mempercepatkan proses pemulihan negara.

Rakyat yang sekian lama tersepit dan tertindas di bawah kerajaan lalu dengan polisi-polisi yang kacau-bilau bermotif menutup pengkhianatan yang telah dilakukan penjenayah bertopengkan pemimpin ini amat mengharapkan keadaan ekonomi, sosial dan politik segera kembali memihak kepada mereka. Isu pengangguran, inflasi yang begitu tenat, harga bahanapi dan kejatuhan nilai matawang, jenayah yang semakin membarah dan banyak lagi perlu ditangani dengan segera kerana pengorbanan mereka membantu Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional (BN) atas alasan utama adalah melepaskan rakyat dari belenggu masalah yang disebutkan di atas.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil iktibar dari kesilapan Soekarno atau lebih terkenal dengan nama Bung Karno. Saya teruja dengan Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM ke 15 pada 6 Disember 1986 di Universiti Islam Antarabangsa oleh Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil terkait dengan isu ini. Katanya, “… dalam hubungan ini, penilaian Richard Nixon terhadap Soekarno terkait dengan kejayaan dan kegagalannya mungkin relevan untuk direnung. Nixon berkata;

"Soekarno was the best example I know of a revolutionary leader who could tear down a system expertly but could not focus his attention on rebuilding”.

Memang Soekarno pemimpin berkarisma luarbiasa yang amat competent sebagai penggempur penjajahan. Pidato-pidatonya dapat membangkitkan daya juang rakyat memerangi Belanda. Kehadirannya di saat-saat kritis zaman revolusi memang diperlukan. Tetapi tidak untuk zaman selepasnya, tidak untuk zaman mengisi kemerdekaan; Soekarno telah gagal menyesuaikan dirinya dengan tuntutan zaman dan lingkungan yang sudah berubah, Soekarno ternyata tidak mampu melakukan tugas `rebuilding' sebaliknya Soekarno terus dengan kebiasaan lamanya menggempur dan mendobrak.

Akhirnya sepanjang pemerintahannya merupakan "a disaster for the people of Indonesia". Soekarno adalah juara nahi mungkar dalam bentuk menggempur penjajahan tetapi gagal melakukan amar makruf dalam bentuk program pembangun­an.

Melihat apa yang dikomentar itu, jelas apa yang sedang dihadapi Pakatan Harapan (PH) sekarang sama seperti dilakukan Bung Karno. Belanda sudah diusir dan merdeka tetapi masih dibuai mimpi dengan orasi-orasi berapi-api seperti ketika Belanda masih menjajah. Zaman tersebut sewajarnya diisi dengan pembangunan fizikal dan modal insan bukan lagi taktik dan teknik menentang penjajah.

Akhirnya rakyat bosan sehingga termakan adu-domba CIA yang melihat Bung Karno sudah tidak lagi menjadi aset penting mereka dan menjalankan ‘covert operation’ yang akhirnya dikaut untungnya peluang tersebut oleh Pak Harto. Bung Karno selepas itu hanya mampu mencatat sejarah sebagai Presiden Pertama yang bergulat mengusir penjajah tetapi menjadi korban atas kelalaiannya sendiri yang kemudiannya diulangi kesilapan sama oleh Dr. Morsi di Mesir.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak ada pilihan lagi selain berusaha keras dan pantas memenuhi aspirasi rakyat dengan tidak lagi menjadikan alasan basa-basi untuk menunaikan janji-janji kepada rakyat khususnya menyalahkan rejim terdahulu. Soal rejim terdahulu biarkan hukum menentukan nasib mereka dan tugas utama kerajaan baharu adalah melayani rakyat dan melindungi mereka.

Penjajah yang dinamakan kleptokrat sudah diusir dan kini masanya pemerintah membangunkan negara dan membantu rakyat meringankan beban mereka termasuklah soal rumah mampu milik, kehadiran begitu ramai warga asing yang membimbangkan seluruh rakyat, pendapatan rakyat yang masih di bawah paras sepatutnya ditambah beban hutang kesan dari polisi pemerintah sebelum ini.

Ayuh penuhi janji dan harapan rakyat insyallah rakyat tahu untuk membalas budi yang ditabur kepada mereka. Kata Najiwa Shihab peneraju program Mata Najwa dan jurnalis dari Indonesia, “Menjadi pejabat berarti melayani rakyat, itulah pemerintahan yang akan mendapat hormat.”

Amanah dan tanggungjawab yang disandarkan di bahu pemerintah jangan dianggap remeh. Jangan selepas habis manis, sepah dibuang kerana kamu akan diperhitungkan di hadapan allah swt atas janji-janji yang dihamparkan kepada rakyat.

Bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew menyebut, “Bahkan jika aku terbaring sakit di tempat tidur, bahkan jika kau akan menurunkanku ke liang kubur lalu aku merasa bahwa ada sesuatu yang tidak beres, aku akan bangun. Mereka yang percaya bahwa setelah aku meninggalkan pemerintahan sebagai perdana menteri maka aku akan menjalani masa bersara yang kekal, benar-benar harus diperiksa kepalanya.”

Jika Lee Kuan Yew berkata selepas matipun akan beliau kembali menyelesaikan urusan tidak beres, mengapa yang masih hidup dan sedang berkuasa tidak mampu bereskan?

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?