JIKA MEMBANTAH TIDAK JADI KESALAHAN, KENAPA PERLU SETUJU?
Banyak isu-isu yang mendominasi media sosial ketika ini melibatkan isu remeh tetapi penting buat mereka yang masih gagal menerima kenyataan bahawa adat bertanding mesti ada kalah dan menang. Mungkin sejak 61 tahun lalu tidak pernah kalah maka minda dan jiwa sudah 'kematu' untuk dilenturkan bagi menerima kenyataan tersebut.
Jika Tun Mahathir dikecam kerana sanggup bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam PRU14 untuk mendapatkan kemenangan dalam PRU14 dengan dibantu AMANAH dan Warisan, UMNO dan PAS juga sebenarnya tidak kalah dalam soal membuat pusingan 'U' apabila sanggup berdakap sesama mereka walaupun PAS pernah berkerat rotan dengan UMNO hingga terpantul 'Amanat Haji Hadi' yang disadur dari ucapan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang secara terbuka 'mengkafirkan' orang-orang UMNO. Sementara UMNO pula silih berganti menghentam PAS sebagai parti ajaran sesat.
Sesungguhnya tidak ada musuh atau sahabat kekal dalam politik selain dari kepentingan. Sebaik PRU14 menjadi sejarah buat pertama kalinya UMNO yang mengemudi BN mengambil alih kerusi pembangkang bersama musuh tradisinya PAS, tidak ada isu selain agama dan bangsa yang dipalu siang dan malam. Cermin mata jatuh latahnya agama, gigi palsu jatuh latahnya pula bangsa.
Namun, ianya tidak akan sehebat dan sehangat sekarang jika paluan gendang UMNO dan PAS itu tidak disambut oleh pemimpin dan parti-parti komponen Pakatan Harapan khususnya DAP. Isu yang sehingga kini menjadi bahang membakar lohong politik tanahair ketika ini termasuklah isu tulisan jawi dan khat, penghinaan terhadap angkatan tentera, isu Dong Zong dan terkini kenyataan pendakwah terkenal Zakir Naik.
Seperti yang saya muatnaik status saya petang tadi, "Isu tulisan jawi ni sebenarnya tidak menimbulkan masalah besar, tetapi apabila ada pihak yang merasa membantah ibarat berjudi jika berjaya satu keuntungan dan jika gagal pun tidak memberi sebarang kesan pada mereka, maka mereka memilih untuk bantah kerana di sana dilihat peluang terbuka.
Sekiranya kerajaan tegas dengan pendirian asal, rasanya bantahan sudah selesai lebih awal. Misalannya seluruh rakyat diarahkan memperbaharui kerakyatan tanpa mengambil kira Melayu, Cina, India atau apa kaum sekalipun dikehendaki mampu membaca dan menulis jawi, bercempera habis siang malam menghafal jawi. Jangankan rumi dan Bahasa Malaysia, rasanya kalau syaratnya perlu hafal Quran 30 juzuk pun silap-silap orang bukan Melayu yang lulus dan orang Melayu ketinggalan di belakang kerana mereka tahu betapa pentingnya jawi dan Quran untuk kelangsungan hidup mereka.
Begitu juga dengan isu-isu lain disebutkan di atas khususnya isu Zakir Naik. Bukan sahaja kita tidak boleh berkompromi dalam hal melibatkan agama dan bangsa yang dilihat dihina dan cuba diperkotak-katikkan, malah atas rasa sayangnya kita pada sebuah kerajaan yang berjaya menumbangkan pemimpin dan kerajaan 'kleptokrat' dan juga harapan untuk membenamkan terus bapa koruptor dan gerombolan koruptor yang sumpah-setia hingga ke akhir hayat kepada taukeh mereka, majoriti rakyat tidak mahu isu yang mampu menggugat keutuhan Pakatan Harapan dijadikan galang ganti.
Dalam soal agama, jangan kata mereka yang dilihat wara' dan alim hal-hal agama akan mempertahankan kesucian agamanya, malah ahli maksiat, kaki todi, kaki judi dan kaki betina pun akan marah selagi mereka Melayu Islam. Saya pernah ceritakan apa yang disebut oleh Mat Sabu juara baling microphone ketika masih bersama PAS dalam ceramahnya.
Dalam ceramahnya , dengan gaya yang bergemuruh tepukan hadirin, Mat Sabu berucap, "Hangpa dengan Melayu jangan dok cari pasai bab babi. Bukan saja yang kaki sembahyang, kaki judi, kaki arak kaki betina pun pantang dengan babi. Ada sorang Melayu kaki buat maksiat dok minum arak di kedai Cina tepi jalan lori bawa babi lintaih! Besemboq arak mulut dia. Tangan kanan dok paut betina, tangan kiri dok langgah arak tapi dia kata "Puihhh! Haram! Haram! Haram! babi!". Kiri kanan tangan dia dah tak haram sebab babi lalu. Tu kalau hangpa nak tau perangai Melayu! Betoi atau tidak? (Klise selalu disebut Mat Sabu betoi atau tidak'!)"
Maknanya, soal agama walaupun seseorang itu ahli maksiat, jangan hina agamanya pasti berpencak silat jika terus diasak. Harus diingat, kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 memang ditentukan oleh pengundi Melayu, tetapi jumlahnya hanya cukup untuk menendang BN untuk tersungkur dan ianya masih perlu banyak kerja keras untuk menentukan kemenangan Pakatan Harapan kekal dalam PRU15.
Seperti diulas oleh Agensi perundingan, Ilham Centre , "Undi Melayu yang diperoleh Pakatan Harapan tidak setinggi mana kerana kemenangan itu disumbangkan kira-kira 11% peralihan undi. Para pengundi tidak konsisten dan ‘fragile’, boleh beralih ditambah kegelisahan mereka dalam banyak isu. Dalam undi yang diperoleh oleh Pakatan Harapan sendiri pun banyak undi protes dan penolakan daripada penyokong UMNO itu sendiri dan majoriti dari pengundi atas pagar. Undi PH ini sebenarnya masih minimum dan rendah terutama dikalangan orang Melayu,"
Agensi sama mendedahkan hasil kajian bersama bersama Penang Institute mendapati hampir 60% masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan selepas hampir 10 bulan mengambil alih pentadbiran negara iaitu pada awal februari tahun ini. Cuba bayangkan bagaimana jika isu seperti Zakir Naik, tulisan jawi, hina angkatan tentera, pengundi muda 18 tahun layak mengundi dan banyak lagi pun sudah menyemarakkan kebencian dan kemarahan orang Melayu negara ini, inikan pula sekarang terhidang luas isu-isu ini untuk ditunggang Jangan biarkan isu-isu ini menjadi penyebab UMNO dan PAS hanya perlu menahan lukah di pergentingan dan siap sedia lori kontena mengangkut hasil yang begitu lumayan.
Tidak ada kesalan pernah berlaku sebelum berlakunya sesuatu yang merugikan. Jangan pula kamu yang memulakan kekeruhan di hulu sungai kamu juga yang beria-ia bertanyakan keruh di hilir.

Comments
Post a Comment