MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Lima hari lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan dan kebetulan tiga hari sebelumnya adalah hari saya menyambut kemerdekaan diri dari rahim ibu yang kini sudah tidak ada lagi untuk sama-sama menyambutnya.
Setiap kali sambutan kemerdekaan maka setiap kali itulah kita sibuk dan bertelingkah soal bendera ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah yang hanya mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950 sebelum dikibarkan.
Bayangkan betapa hinanya kita untuk mereka-bentuk bendera pun memerlukan kelulusan orang putih walaupun sebelum itu pada 22 dan 23 Februari 1950, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan.
Saya tidak bermaksud untuk meremehkan Bendera Malaysia tetapi apa yang ingin saya tegaskan di sini adalah bagaimana sebahagian besar dari kita telah mengabaikan amanah para leluhur pejuang kemerdekaan seperti almarhum Dr. Burhanuddin al-Helmy yang meninggalkan pesan keramat, "di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka,"
Izinkan saya memetik kata-kata Dr. Siddiq Fadzil dalam bukunya berjudul Pendidikan Al-Hikmah dan Misi Pencerahan di halaman 39, terbitan Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang (2009) di halaman 39 tentang apakah yang lebih utama di sebalik kemerdekaan.
Katanya, "Kemerdekaan tanah air hanya punya erti jika segera diikuti perjuangan mencapai kemerdekaan akal budi. Apalah erti pekikan merdeka, andainya umat masih berminda anak jajahan, tidak memiliki sikap percaya diri, tidak mampu berfikir kritis, tidak yakin dengan keunggulan nilai-nilai agama dan budaya sendiri. Agenda perjuangan selepas penjajah angkat kaki inilah juga yang dibicarakan oleh orang Frantz Fanon dalam konteks Algeria, "Are we fighting just to rid ourselves of colonialism, a necessary goal, or are we thinking about what we will do when the white policeman leaves? Ketika membicarakan pendirian Fanon dalam isu ini, Edward W. Said menyatakan "... the goal of their native intellectual cannot simply be to the replace a white policeman with his native counterpart, but rather what is called borrowing from Aime Cesaire, the invention of new souls."
Merdekakah kita jika Bahasa Kebangsaan masih berada pada tahap sekarang? Merdekakah kita jika Angkatan Bersenjata kita diperlekeh oleh mereka yang mengaku rakyat tanpa rasa bersalah? Merdekakah kita jika hanya untuk memperkenalkan semula seni khat dan tulisan Jawi pun terkial-kial gara-gara dibantah oleh kelompok pelampau kaum? Merdekakah kita jika bangsa Melayu dilabel sebagai kaum pendatang oleh pendatang itu sendiri?
Merdekakah kita jika aspek ekonomi negara masih gagal meletakkan pribumi pada tahap yang sewajarnya selepas 62 tahun merdeka? Merdekakah kita jika agama rasmi persekutuan begitu enteng diperlekeh dan dihina oleh penganut agama lain di negara ini? Merdekakah tanah air ini jika masih ada yang belum menikmati keperluan asas seperti air bersih dan bekalan elektrik?
Apa guna sembang bilion-bilion kalau bilion itu dinikmati oleh segelintir penyamun bukannya rakyat. Bayangkan jika seorang penyamun boleh memiliki berbilion ringgit dalam akaun peribadi sedangkan rakyat hujung bulan berbaki RM2.60? Yang merdeka adalah penyamun bukannya rakyat kerana yang berjiwa merdeka adalah penyamun dan rakyat masih menjadi hamba kepada penyamun.
Merdeka tidak harus disempitkan takrifannya hanya jika kita dapat meletakkan bangsa kita sebagai pemimpin untuk memimpin negara sedangkan rakyat secara umumnya terus dijajah oleh manusia yang meleleh air liur terjerit-jerit kata-kata merdeka sedangkan hakikatnya dialah penjajah yang menjajah rakyatnya sendiri.
Topeng kemerdekaan yang dihadiahkan oleh penjajah kepada agen-agennya sebelum meninggalkan tanah jajahan terus melekat di wajah boneka mereka. Ada ketikanya agen-agen penjajah ini lebih kejam dan menindas rakyatnya sendiri berbanding penjajah termasuk dalam soal memunggah harta kekayaan hasil daripada bumi yang kita cintai ini.
Kerakusan melahap harta, kuasa dan kemewahan hidup dilakukan seolah-olah rakyat dengan rela membiarkan ianya berlaku. Tanpa rasa malu dan segan mereka menjarah harta negara sesuka hati walaupun rakyat merayu dan merintih supaya penjarahan dihentikan. Pendekar dan pahlawan sudah dibungkam mulut, tangan dan kaki diikat oleh boneka penjajah dengan mengatasnamakan hukum.
“Bangsa yang tidak percaya kepada kekuatan dirinya sebagai suatu bangsa, tidak dapat berdiri sebagai suatu bangsa yang merdeka” kata Bung Karno.
Kemerdekaan hanya akan bermakna jika pemimpin dan rakyat saling percaya dan mempercayai tanpa helah. Pemimpin dan rakyat seharusnya menjadikan hubungan antara mereka sebagai 'rahmatan lil alamin' yang penuh berkah. Tetapi kini ianya sudah terbelah dan menanti masa untuk mati akibat barah. Apa tidaknya jika pemimpin tidak henti-henti menghisap darah sehingga rakyat tak tentu arah lantaran pemimpin asyik ‘mentekedarah’.
Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi bahtera kemerdekaan ini jangan sampai karam di tengah pelayaran walau sebesar mana sekalipun badai melanda. Badai dan taufan itulah sebenarnya ujian yang menjadi 'bench mark' kemampuan dan kewibawaan seseorang pemimpin sebagai nakhoda bahtera samada gagal atau sebaliknya.
Harapan rakyat kepada pemerintah tidak terlalu tinggi untuk dianggap sebagai membebankan kerana apa yang mereka harapkan hanyalah kemerdekaan dalam erti sebenar. Kemerdekaan sebenar adalah memerdekakan tanahair ini dari rasuah dan salahguna kuasa, memerdekakan tanah air dari pemimpin rakus dan gila kuasa serta meletakkan negara sebagai negara yang mengutamakan rakyat bukan pemimpin kerana pemimpin itu tidak lebih dari khadam kepada rakyat bukan 'boss'. Ingat sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya:
“Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin.” - Riwayat Bukhari

Comments
Post a Comment