NEGARA PALING KAYA DENGAN INSTITUSI


Apa institusi yang tidak ada di Malaysia? Setiap masalah semuanya ada institusi yang dipertanggungjawabkan walaupun tidak bertanggungjawab.

Tak faham Islam? Ada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) tapi yang sedih tapi melucukan adalah yang faham Islam cuma institut tersebut bukan majoriti umat Islam negara ini. Faham apa jika sikit-sikit kafirkan orang hingga habis orang Islam negara ini dikafirkan sedangkan mengajak bukan Islam memeluk Islam tak mampu disebabkan perangai kalahkan Abu Jahal. Laungkan Allahuakbar! disambung maki-hamun dan mencarut sana-sini khususnya di media sosial apakah itu petanda Islam difahami?

Masalah integriti? Ada Institut Integriti Malaysia (IIM atau INTEGRITI) tapi malangnya tahap integriti pemimpin kerajaan dan penjawat awam boleh dinilai dengan apa yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara setiap tahun dan juga jumlah mereka yang diheret ke mahkamah dan ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bukan sikit-sikit, berjuta malah bossku berbilion ringgit disebatnya. Jika pemimpin nombor satu kencing berdiri, penjawat awam dan menteri serta ketua bahagian UMNO kencing sambil terbang.

Masalah kongsi gelap, judi dan pelacuran? Ada Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Pelacuran dalam PDRM tapi tuan-tuan dan puan nilai sendirilah nanti saya disumpah jadi batu oleh Sang Kelembai!

Masalah dadah? Sejak merdeka sampai parti yang memerintah selama 61 tahun ditalkinkan dadah terus membarah. Bukannya kes seribu dua, puluhan juta ringgit nilai dadah dirampas walaupun dadah musuh nombor SATU negara. Kalau nombor ekor tak tahulah bagaimana jadinya. Bukan tak ada agensi bertanggungjawab. Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ada, Jabatan Narkotik siap dengan pengarah berbintang-bintang berlekuk-lekuk keris atas kepala bahu, Kastam pun ada bantu agensi utama membanteras dadah tetapi dadah tetap lolos.

Masalah penyeludupan di sempadan? Bukan sekadar gula, minyak masak, bahanapi dan bahan kawalan lain, malah manusia dan senjatapi pun boleh lolos sedangkan dulunya dipanggil Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) mungkin dah malu nak digunakan UPP gara-gara penyeludupan terus berlaku, letaklah sekarang nama Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) yang sekarang ini tahap keselamatan cukup selamat sehingga tersengeh-sengeh siamang, kera, lutung, ungka dan biawak pasir.

Tak reti memandu kereta? Ratusan institut memandu kenderaan ada dalam negara ini tapi tetap kaedah pemanduan macam musibat siap lawan arus. Malah setiap kali musim perayaan dilancarkan Ops Selamat tetapi memang lucu apabila jumlah korban maut kemalangan jalanraya terus meningkat dan SELAMAT dipandu van jenazah ke liang lahad.

Masalah pekebun kecil getah? Adanya RISDA bukan membantu pekebun kecil tetapi jadi sarang penyamun menyamun peluang buat duit untuk diri dan kuncu-kuncu. Bila harga getah menjunam, didesaknya kerajaan benarkan pekebun kecil tanam ketum. Apa punya gila Pengerusi RISDA! Jangan cakaplah soal manfaat ketum sebab kalau nak bandingkan manfaat, morfin dan heroin pun ada manfaatnya. Jika tidak mati keras orang yang menjalani pembedahan.

Masalah perpaduan kaum? Siap dengan menteri serta puluhan pegawai menerajui kementerian perpaduan kaum di negara ini. Tapi jangankan menyatupadukan semua kaum, kaum sendiri pun berpecah-pecah. Melayu dengan Melayu pun berpecah cuma lain-lain kaum bersatu tetapi sesama mereka bukan dengan kaum lain. Dalam kementerian perpaduan kaum sendiri, cuma kakitangan pentadbiran yang dilantik SPA dan Setiausaha Politiknya sahaja Melayu lain semuanya India. Perpaduan kaum sungguh hang ni!

Itu belum lagi Islam yang bukan sahaja ada 4 mazhab, macam-macam mazhab dan kabilah boleh ditemui di Malaysia yang terpekik-terlolong meraung atas nama Islam dan mengaku Tuhan itu satu, Islam itu agama yang satu dan umat Islam semuanya bersaudara. Apa khabar saudara?


Masalah kemiskinan? Siap diwujudkan Yayasan Basmi Kemiskinan dan sehingga sekarang alhamdulilah, rakyat negara ini kaya-raya hidup bertilamkan wang dan berbantalkan jongkong emas. Hidup Melayu!

Sebut saja masalah mesti ada yayasan, institut, unit atau agensi yang bertanggungjawab tetapi didiami manusia tak bertanggungjawab. Ini namanya mahal rantai daripada beruk dan untung secupak rugi segantang. Berbilion ringgit habis pada agensi-agensi ini tetapi masalah kekal sebagai masalah yang dipermasalahkan.

Sama-sama fikirkan dan jika nak marah pun marahlah sebab saya tak buat apa pun memang kena marah!

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?