SMOKE SCREEN
Ada ketikanya aku merasa isu yang melanda negara satu persatu, habis satu muncul lagi satu tanpa tanda-tanda akan berakhir hanyalah 'smoke screen' bagi mengelabui mata rakyat atas kelemahan pemerintah untuk menunaikan janji-janji yang telah dibuat serta sumpah jawatan yang dilafazkan ketika menerima jawatan tersebut.
Jangan-jangan di hadapan lain sementara di belakang pula lain. Sepertimana kita sedia maklum atau yang tidak termaklum maka saya maklumkan. Di hadapan kedai Cina adalah kedai runcit tetapi di belakangnya meja menjual nombor ekor haram yang sememangnya haram. Di hadapan kedai menjual kacang kuda, di belakang kedai mesin kuda, di hadapan kedai aktiviti urut kaki tetapi di belakang kedai urut 'Awang Liku'. Malah di hadapan kedai ada yang jual belangkas bakar tetapi di belakang pelanggan dan pelayan pelanggan menjadi belangkas berbaldi-baldi keringat bercucuran.
Sebagai pemerintah, berlaku jujurlah pada rakyat. Jika sudi katakan sudi, jika benci katakan benci. Jika tidak mampu, berterus-teranglah tidak mampu dan jika mampu, apa ditunggu lagi?
Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan begitu jugalah dengan sebuah negara yang diperintah oleh sesiapapun juga pastinya ada masalah. Tetapi janganlah masalah tersebut mempermasalahkan pemerintah untuk memerintah dengan betah.
Tunjukkan mana negara yang tidak dilanda masalah tetapi pemerintah terbilang bukanlah pemerintah yang tidak ditimpa masalah, sebaliknya pemerintah yang bijak menangani masalah.
Tetapi sekarang apa yang diperhatikan oleh seluruh rakyat adalah pemerintah seakan-akan menumpukan perhatian kepada masalah remeh sedangkan masalah besar dan mencengkam rakyat tidak diutamakan. Masalah sebenar dihadapi rakyat bukan masalah bendera terbalik, bukan juga masalah 'gojek', bukan masalah tulisan jawi atau rumi, bukan masalah siapa akan menjadi Perdana Menteri, bukan masalah bontot siapa disula oleh siapa bahkan bukan masalah apa yang disebut Zakir Naik. Masalah utama yang memasung tengkuk rakyat adalah masalah ekonomi.
Masalah utama ketika ini adalah isu pengangguran yang semakin kritikal, ringgit semakin melemah, kuasa beli rakyat terus nazak, masalah dadah umpama mencurahkan air ke atas jala, peluang pekerjaan dan perniagaan dibolot warga asing serta banyak lagi jika ingin disenaraikan.
Jika pemerintah jujur untuk membantu rakyat, persetankan isu-isu remeh dan kecil yang dibesar-besarkan oleh media demi mensensasikan berita untuk dihidangkan secara berterusan. Tanpa berita apalah makna agensi berita dan pastinya mereka gulung tikar.
Di zaman Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Ke Empat, beliau tegas dan tangkas berdepan apa juga isu tanpa rasa gentar walaupun dilabel sebagai diktator. Apa gunanya pemimpin berbudi-bahasa dan sopan-santun jika negara tunggang-langgang. Nak jadi tentera dan polis tak perlu lah lebih utamakan budi-bahasa dari menyelesaikan masalah jenayah dan ancaman keselamatan negara walaupun ianya baik.
Ada ketikanya kita perlu lakukan sesuatu yang kita tidak suka kerana keadaan memerlukan kita melakukan apa yang kita tidak suka. Bukan semua polis dan tentera suka berkawad tetapi itulah sebahagian dari kehendak anggota dan pegawai polis serta tentera. Jika ditanya dengan jujur dan ikhlas anggota polis dan tentera samada mereka suka kawad atau tidak, pastinya jawapan adalah TIDAK. Kenapa mereka berkawad? Kerana ianya keperluan untuk pasukan tersebut menanam disiplin yang utuh dalam setiap jasad anggota dan pegawai tentera serta polis.
Masalah apa yang tidak didepani Dr Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri Ke Empat? Kehakiman? Istana? Krisis Kewangan? Isu Memali? ISA? Terlalu banyak untuk disebut satu persatu tetapi semuanya tidak menggalang beliau membangunkan negara serta menjadikan negara berada jauh di hadapan negara-negara jiran samada dari segi ekonomi, politik dan keselamatan.
Tak perlulah mengulang-ulang Malaysia Baharu jika perut rakyat terus berkeroncong. anak-anak yang sepatutnya minum susu berganti sirap, anak-anak yang perlu bersekolah terpaksa membantu ibu-bapa menjual nasi lemak di tepi jalan, rakyat terus mengemis ihsan kerajaan untuk terus hidup dan hidup kais pagi makan pagi,kais petang mungkin esok dapat dimakan.
Rakyat tidak mengharapkan Malaysia Baharu tetapi Malaysia yang membolehkan rakyat hidup dengan aman, damai, cukup makan dan pakai serta mampu menghantar anak bersekolah tanpa rasa bimbang akan keperluan anak-anak tidak memadai. Rakyat tidak mengharapkan menjadi kaya tetapi cukuplah tidak papa-kedana.
Jika perlu langgar janji, langgar saja asalkan rakyat hidup sempurna. Apa guna janji ditepati sekadar untung secupak rugi segantang. Cukup-cukuplah mengulangi masalah kewangan yang tidak berkesudahan kerana rakyat tidak bodoh dan pekak untuk diulang-ulang.
Seperti pernah disebut oleh bekas Presiden Amerika Ronald Reagan, "Masalahnya bukan pada rakyat yang dikenakan cukai terlalu sedikit, masalahnya adalah pemerintah menghabiskannya terlalu banyak."
Rakyat juga harus membantu pemerintah untuk mempercepatkan pemulihan negara yang telah dipunah-ranahkan oleh iblis-iblis sebelum ini. Kata Walikota Bandung Ridwan Kamil, "Turun tangan jangan tunjuk tangan. Negeri ini jauh dari beres jika hanya meminta pemerintah untuk hadirkan perubahan."

Comments
Post a Comment