MEMILIH BAKAL YANG BAKAL ….


Pilihanraya merupakan wadah untuk setiap rakyat yang layak mengundi untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih wakil mereka samada di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Pada prinsipnya, itulah matlamat asal yang dimaktubkan menurut undang-undang dan digaungkan oleh pemimpin-pemimpin yang mengatasnamakan demokrasi.

Namun begitu, apakah benar rakyat memilih wakil mereka atau pemimpin yang bakal membela nasib rakyat? Walaupun lebih lunak disebut ‘tepuk dada tanya selera’, lebih ikhlas dan jujur jika dikatakan bahawa rakyat tidak memilih pemimpin yang bakal membela mereka atau bakal wakil rakyat, sebaliknya memilih bakal yang bakal menyembah pemimpin besar mereka, bakal orang yang mengarah rakyat yang sepatutnya rakyat mengarah mereka, bakal Orang Kaya Baru (OKB), bakal manusia manusia yang akan menjadikan jawatan mereka nanti sebagai perkakas untuk disalahgunakan, bakal koruptor, bakal manusia yang tidak lagi menjawab panggilan talipon atau mesej dihantar orang yang memilih mereka, bakal yang yang hanya pandai memberi alasan untuk mengelak dari pemilih mereka, bakal pemunggah khazanah negara dan wang rakyat, bakal yang akan mengangkat pengampu dan penjilat-penjilat mereka menjadi bakal setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai-pegawai khas dan tukang tukang jaga pintu serta tukang kutip toci.

Sekiranya mereka adalah wakil rakyat, pastinya mereka mengikut kehendak rakyat yang mewakilkan mereka, sebaliknya mereka mengikut kehendak pemimpin besar dan parti politik mereka yang bermaksud wakil pemimpin atau wakil parti. Mereka hanya akan patuh kepada pemimpin dan parti kerana beranggapan bahawa pemimpin dan parti yang mencalonkan mereka. Hakikatnya walaupun benar pemimpin dan parti yang mencalonkan mereka, apakah mereka akan menang atau terpilih dalam pilihanraya hanya kerana pilihan pemimpin dan parti? Sila tagih undi dari pemimpin dan ahli parti sahaja untuk kamu menang yang pastinya mustahil akan menang kerana kemenangan seseorang calon dalam pilihanraya bergantung penuh daripada pengundi atas pagar yang tidak berparti. Berapa sangat jumlah ahli parti berbanding yang tidak berparti?

Sejak sekian lama rakyat negara ini bukan memilih wakil rakyat tetapi memilih wakil pemimpin yang terdiri dari binatang-binatang buas, jin, pelesit dan hantu raya yang tidak sabar-sabar untuk membaham orang yang memilih dan mengangkat mereka ke kerusi tersebut. Hakikatnya, kitalah yang menternak binatang-binatang buas, jin, pelesit dan hantu raya sejak begitu lama sehingga ada yang sudah membesar menjadi dinosaur, ikan paus, ikan jerung, Gorila, King Cobra, anaconda serta saka.

Mungkin ada yang bertanya kenapa pula terus memilih binatang-binatang buas, jin, pelesit dan hantu raya setiap kali pilihan raya? Bukankah ianya pekerjaan ‘goblok’ jika melakukan perkara tersebut berulang-ulang?

Masalah sebenar adalah kerana setiap kali pilihanraya dan berkempen, kemunculan mereka yang bergelar bakal calon wakil rakyat ini muncul dengan topeng-topeng selebriti, agamawan dan nama-nama besar. Ada yang bertopengkan Malek Bennabi, Hassan al-Banna, Yusuf al-Qaradhawi, arwah Tuan Guru Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat, Syeikh Dr Fathi Yakan, Khalifah Umar Abdul Aziz, Khalifah Umar al-Khattab dan sebagainya. Ada pula bertopengkan tokoh seperti Mahatma Gandhi, Confucious, Martin Luther King, Mandela, dan tidak sedikit yang tampil dengan topeng selebriti umpama Angelina Jolie, Julia Robert, Tom Cruise, Richard Gere, Kevin Costner dan Johnny Depp. Apa lagi yang dapat diungkap dengan kemunculan begini selain tersihir sesihir-sihirnya lah orang kita.

Sampai bila pemimpin dan wakil rakyat tulen akan muncul mewakili rakyat? Apakah benar kata-kata “Pemimpin yang bodoh lahir dari tangan pengundi yang bodoh?” dan pemimpin yang jahat datang dari pengundi juga jahat? Atau mungkin juga seperti disebut oleh Pramoedya Ananta Toer, “Kesalahan orang-orang pandai ialah menganggap yang lain bodoh, dan kesalahan orang-orang bodoh ialah menganggap orang lain pandai.”

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?