NAJIB EXKOBAU JAUH LEBIH CEMERLANG BERBANDING PABLO ESCOBAR



Membaca riwayat hidup Najib sambil membayangkan mirip siapa gerangan mantan Perdana Menteri ini membuatkan saya tiba-tiba terkenang akan hero sebahagian daripada rakyat Columbia khususnya golongan miskin iaitu Pablo Escobar. Walaupun jalan dirintis masing-masing berbeza, ada beberapa persamaan cara digunakan oleh kedua-dua nama besar ini menurut kaca mata pengkaji watak.

Walaupun agak keterlaluan menganggap Najib dan Pablo Escobar sebagai nama besar, namun harus diakui bahawa seluruh dunia mengenali kedua-duanya yang seorang Raja Dadah tersohor di dunia dan seorang lagi Raja Kleptokrat paling termahsyur dalam sejarah pemimpin dunia.

Pablo Escobar bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan kecil yang akhirnya bergabung menjadi penyeludup terbesar dunia yang digelar ‘Medellin Cartel’. Walaubagaimanapun, Najib Exkobau dikatakan tidak perlu bergabung dengan kumpulan-kumpulan manapun untuk meningkatkan pengaruhnya kerana kumpulan-kumpulan itu yang datang menyembahnya untuk disumbat dengan ‘dedak’ dan kedudukan yang diidamkan. Ketagihan dedak dan kokain sama bahayanya tau!

Seperti kata Pablo Escobar, “Sometimes I'm God. If I say a man dies, he dies the same day". Agaknya itu jugalah impian Najib Exkobau sehingga semua takut membantah apa saja kemahuan beliau sehingga di dalam UMNO, daripada ahli ‘cokia’ hingga Majlis Tertinggi, Naib Presiden, Timbalan Presiden serta sayap pemuda, wanita dan puteri menggigil ketakutan untuk menegur Raja Kleptokrat ini walaupun mengetahui presiden mereka sudah tersasar. Malah, ketua-ketua jabatan juga disumpah menjadi batu jika bersuara tidak senada dengannya ketika berkuasa.

Namun, jika ditanya saya dari sudut moral, saya lebih menghormati Pablo Escobar kerana beliau tidak mencuri wang rakyat negaranya atau mencuri harta dan wang negara. Malah paling menarik, beliau pernah menawarkan untuk melunasi hutang negaranya berjumlah USD10 bilion (jika pertukaran sekarang lebih RM40 bilion) sebagai tukaran agar tidak diekstradisi ke Amerika Syarikat. Sedangkan Najib bukan melunasi hutang negara, dialah punca hutang negara bertimbun-timbun mengatasi Gunung Himalaya.

Jika ada perbezaan antara kedua-dua orang ini sekalipun, ianya lebih banyak berkisar kepada perjalanan hidup sejak kecil di mana Pablo Escobar hanya anak seorang petani sebelum menjadi pengedar dadah, beliau memulakan karier dengan mencuri batu nisan untuk dijual, kemudian aktiviti penyeludupan dan mencuri kereta berbanding Najib yang membesar dengan senang-lenang kerana ditakdirkan menjadi anak Perdana Menteri Tun Razak. Namun, agak menarik juga kerana Pablo Escobar juga bercita-cita sejak kecil untuk menjadi Presiden Columbia tetapi tidak berjaya sepertimana Najib Eskobau berjaya menjadi Perdana Menteri berdampingan dengan bosnya Semah Malu Kucing.

Pablo Escobar menggunakan pengalamannya sebagai penyeludup yang berpengalaman dan berkuasa menggunakan falsafah ‘plata o plomo’ (duit atau peluru) yang digunakan untuk mengugut pihak berkuasa. Jangan-jangan Najib Exkobau juga pernah melakukan perkara sama. Nanti saya buat panggilan pada Najib sahkan perkara ini hehehe.

Jika pendokong Najib dan pembenci Pakatan Harapan mendakwa begitu banyak jasa Najib kepada rakyat dengan memberi BR1M, menghantar rakyat tunaikan ibadah haji serta laksanakan pembangunan, harus diingat ianya menggunakan wang kerajaan tidak seperti Pablo Escobar.

Bekas Raja Dadah ini melakukan kebajikan kepada sebahagian besar orang miskin di Columbia menggunakan wang beliau sendiri walaupun dari hasil penjualan dadah sedangkan yang seorang lagi menggunakan wang rompakan besar-besaran untuk menabur ‘dedak’ dan pembangunan pula menggunakan dana kerajaan yang semestinya juga menguntungkan beliau kerana yang mendapat manfaat dari projek dilaksanakan juga terdiri dari kuncu-kuncunya yang berakhir dengan kick-back kepada beliau atau Ratu Hatinya Sang Kesoma Dewi Rambut Kembang Mustahil Kuncup.

Untuk meraih sokongan rakyat Columbia, Pablo Escobar membina rumah-rumah untuk orang miskin, gereja, padang bola, hospital dan rumah untuk gelandangan menggunakan wang sendiri walau dengan cara salah. Oleh itu, apalah sangat usaha Najib Exkobau menghantar rakyat menunaikan ibadah haji ke Mekah menggunakan dana 1MDB?

Jika pentaksub Najib Exkobau mengungkit apa dilakukannya sebelum ini dan menafikan Najib melakukan jenayah dan kerja salah, ibu Pablo Escobar Hemilda Gaviria juga memuji anaknya dan menafikan kesalahan Pablo Escobar dengan berkata, “Saya mahukan orang ramai mengingati perkara-perkara baik yang telah dilakukan oleh Pablo, kerana dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dia telah membina hospital rumah untuk orang miskin padang bola gereja dan juga rumah perlindungan untuk gelandangan. Tiada siapa yang bercakap mengenai perkara baik, semua bercakap tentang perkara tidak baik.” Sedangkan sepanjang Pablo Escobar menjadi kartel dadah, beliau telah bertanggungjawab membunuh 4,000 orang termasuk dianggarkan 200 hakim dan 1,000 orang pegawai dan anggota polis, wartawan dan pegawai kerajaan.

Rakyat Columbia yang bersimpati kepada Pablo Escobar mungkin menganggap beliau tidak bersalah kerana yang menjadi korban dadah Raja Dadah ini mendapat hasil dari penjualan dadah dengan jumlah 80% daripada bekalan kokain dunia dan pasaran utamanya adalah Amerika Syarikat bukan membunuh rakyat di negaranya. Mungkin alasan sama digunakan pentaksub dan pencacai Najib wang dirompak bukan wang rakyat tapi wang dari 1MDB hehehe.

Escobar menjadikan rakyat Amerika Syarikat ketagihan kokain tapi Najib lebih hebat menjadikan rakyat negara ini ketagihan dedak. Escobar mematikan 4,000 jiwa di Columbia sedangkan Najib mematikan jutaan akal rakyat negaranya. Ketika Pablo Escobar dan keluarganya dalam buruan pihak berkuasa Columbia dan juga Amerika Syarikat, anaknya jatuh sakit dan kesejukan, Pablo Escobar telah membakar wang kertas bernilai $2 juta USD semata-mata untuk memanaskan badan anak perempuannya Manuela yang demam. Najib Exkobau juga tidak kalah soal sayang anak-isteri dengan memberi anak tirinya Riza Aziz wang hasil penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM1.026 bilion untuk memanaskan pawagam dengan filem separa-porno yang kini ditelanjangkan di mahkamah dalam perbicaraan.

Kehidupan mewah Pablo Escobar kemungkinan besar menjadi satu fantasi kepada Najib Exkobau kerana Raja Dadah itu berjaya memiliki bukan saja wang tunai yang terlalu banyak dan tidak dapat dikawal dengan baik sehingga diceritakan bahawa 10 % daripada wang tunainya telah rosak akibat dimakan tikus. Agak melucukan tetapi fakta nyata, Pablo Escobar membelanjakan $2,500 USD bersamaan (RM11,000) sebulan untuk membeli getah bagi mengikat wang tunai miliknya. Lantaran keuntungan hasil dadahnya terlalu besar dan berkembang pesat, ia membuatkan Pablo Escobar bukan sahaja menggunakan kereta, trak, helicopter, kapal terbang dan bot mewah malah dia juga mempunyai dua buah kapal selam untuk tujuan penyeludupan. Najib juga tidak kalah soal kapal selam kerana turut membeli Scorpene yang sehingga kini menjadi misteri.

Terlalu banyak yang boleh dijadikan bandingan antara kedua-dua indivdu ini mengalahkan Hikayat 1001 Malam. Untuk kesekian kalinya untuk hari ini, saya mohon izin berhenti di sini dahulu kerana selain minda berpusing-pusing, pinggang juga sudah hampir putus.

Cuma pesan saya, walaupun kita berjaya menjadi pemimpin besar dan ternama sehingga perdana menteri sekalipun, jaga dan pimpinlah anak-anak supaya tidak tergelincir. Bak kata Emha Ainun Nadjib, “Kita memiliki kebebasan untuk membiarkan anak kita menjadi seseorang sebagaimana yang Tuhan takdirkan; kalau mangga, ya manggalah ia, kalau duren ya durenlah ia. Kambing tidak akan menjadi gajah hanya kerana kita kasih nama gajah.”

Apa itu kehidupan buat kita? Hanya umpama setitis embun, tibanya sebentar dan kemudian hilang. Lebih baik hidup ini diisi dengan sesuatu yang akan memberi erti dan manfaat dalam hidup kita. Pablo Escobar mati di hujung senapang sementara Najib Exkobau hingga longgar kepala lutut panjat mahkamah sehingga kini dan terpaksa mengadu sakit bontot duduk di kerusi kayu dalam kandang pesalah. Kata Hamka, “kezaliman terbahagi kepada dua, pertama buat zalim, kedua membiarkan kezaliman berlaku. Kedua-duanya sama di luar keadilan.”

Selamat Malam…

Comments

  1. Walaupun sudah banyak pendedahan dibuat namun masih gagal meyakinkan penyokong beliau. Mrk tetap menganggap beliau pemimpin yg baik.. menjaga kebajikan rakyat.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?