SARANG TEBUAN JANGAN DIJOLOK
Bekas Ahli Parlimen DAP Kua Kia Soong yang berselindung sebagai aktivis sosial yang juga merupakan Penasihat SUARAM sebuah NGO yang mendakwa menyuarakan pendapat rakyat Malaysia dan selalunya bertentangan dengan pendirian kerajaan muncul dengan kenyataan terbaru mempersenda Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Secara sinis beliau berkata tidak tahu negara memiliki Perdana Menteri orang asli dalam kenyataannya. Kenyataan beliau ini dibuat ekoran Perdana Menteri menyatakan orang Melayu sebagai orang asal negara ini sebaliknya Kua berkata perlembagaan persekutuan hanya mengiktiraf orang asli sebagai orang asal. Tambahnya lagi, Perlembagaan Persekutuan tidak mentafsirkan bangsa Melayu sebagai orang asal dan ianya ‘sangat salah dan tidak tepat’ merujuk Melayu sebagai orang asal Semenanjung Malaysia.
Sebenarnya tidak begitu sukar untuk menelah sikap Kua Kia Soong DNA DAP ini kerana selain posisi disebutkan di atas, beliau juga merupakan Pengarah Dong Jiao Zong (DJZ) Kolej New Era yang sinonim dengan DAP dan anti Melayu.
Tambahan pula, dendam beliau terhadap Tun akibat ditahan di bawah ISA selama 445 dalam Ops Lalang pada tahun 1987 dan sekali lagi ditahan pada 1996 semasa Persidangan Asia Pasifik tentang Timor Timur di PWTC tidak pernah padam walaupun Mahfuz Omar, Mohamad Sabu dan lainnya sudah menerima hakikat tersebut.
Beliau banyak menulis buku termasuk sebuah buku berkaitan insiden 13 Mei 1969 berjudul ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969.’ Buku ini diterbitkan pada tahun 2007 oleh SUARAM menurut perspektif beliau yang menuding jari terhadap UMNO atas peristiwa itu kononnya berasaskan kajian terhadap 'Public Records Office at London'. Beliau mendakwa berlaku kudeta pemimpin UMNO untuk merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri ketika itu seolah-olah meremehkan sikap ultra-kiasu DAP.
Jika beliau dan mereka yang sepemikiran dengannya mengatakan Orang Asal adalah Orang Asli, apakah ketika menuntut kemerdekaan negara ini, kontrak sosial yang dilakukan ketika itu dilakukan antara orang Cina, India dan Orang Asli? Tidak terfikirkah betapa toleransinya bangsa Melayu ketika itu terpaksa menelan kekecewaan apabila demi menuntut kemerdekaan tanahair, bangsa Melayu mengizinkan kerakyatan diberi kepada lebih sejuta imigran secara ‘Jus Soli’? Jangan cuba memperbodohkan bangsa Melayu walaupun kami tahu sikap bangsa lain khususnya kamu tidak pernah ada yang kena pada mata kamu tentang bangsa Melayu.
Kami bangsa Melayu juga tidak pernah lupa bahawa prinsip kerakyatan secara Jus Soli lebih menguntungkan orang dagang atau imigran kerana mereka memperoleh kerakyatan dengan mudah di negara ini. Menyedari prinsip Jus Soli mengancam kedudukan orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan orang Melayu dalam pemberian kerakyatan kepada kaum imigran, orang-orang Melayu mengambil pendekatan sederhana bak kata orang tua-tua umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Bangsa Melayu tidak lupa bahawa orang Melayu menerima prinsip Jus Soli tetapi dengan beberapa syarat. Melalui pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengetatkan syarat kerakyatan Jus Soli. Antara syarat itu adalah;
1) Penduduk bukan Melayu mesti tinggal di Persekutuan Tanah Melayu tidak kurang daripada 10 tahun.
2) Kedua-dua ibubapa mereka mestilah warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
3) Mereka hendaklah mengaku taat setia terhadap Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tempat tumpah darahnya; dan
4) Bermula tahun 1958, mereka juga perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.
Satu lagi syarat utama dalam persetujuan prinsip Jus Soli seperti yang terkandung dalam Pakatan Murni, kaum imigran yang bakal mendapat kerakyatan perlu bersetuju dengan empat perkara penting.
Perkara itu ialah mengenai kedudukan istemewa orang Melayu (Perkara 153), kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 181), agama Islam sebagai agama persekutuan (Perkara 3) dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152).
Lantas terhasillah ‘Kontrak Sosial’ yang amat penting dan WAJIB dipatuhi sampai hari ini.
• Raja-Raja Melayu menerima kerakyatan Jus Soli.
• Orang bukan Melayu pula mengiktiraf kedudukan istemewa orang Melayu dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
• Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan Tanah Melayu dan
• Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Semenjak zaman awal menuntut kemerdekaan negara, syarat-syarat ini telah dipersetujui oleh ketiga-tiga kaum yang terbesar di negara ini. Tidak pernah dipersoalkan secara terbuka. Walaupun pada mulanya ada sungutan dan perasaan ketidakpuasan hati tentang persetujuan itu namun setelah beberapa lama setiap kaum saling memahami tentang kepentingan kontrak sosial itu. Setiap kaum akur dan memahami mengapa syarat-syarat itu perlu dipatuhi.
Tetapi, nampaknya bukan Melayu sekarang sudah cuba-cuba menentang ‘Kontrak Sosial’ dan hak orang Melayu secara terbuka dan ini amat merbahaya.
Ingin saya rujuk apa yang telah ditulis dalam buku ‘Pertama dan Terakhir’ oleh Zainudin Maidin @ Zam yang diterbitkan pada tahun 1980 oleh Utusan Publications & Distributors di halaman 94 mengenai temubual beliau dengan bekas Timbalan Perdana Menteri terbaik pernah dimiliki negara ini dengan ketegasan dan ketokohan yang luarbiasa.
Saya memetik tulisan ini kerana di sana disentuh mengenai punca berlakunya insiden rusuhan kaum paling malang dalam negara ini pada 13 Mei 1969 oleh Tun Dr Ismail ketika ditemubual oleh ZAM.
“Di dalam interbiu itu beliau (Tun Dr Ismail) secara terus-terang mengakui kecuaian Kerajaan Perikatan di masa lalu dalam mengawasi dengan betul agar tidak ada mana-mana pihak menyentuh hak istimewa orang-orang Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan dan tentang kerajaan berlembut dalam melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan.
"Hak istimewa orang-orang Melayu terserah kepada orang-orang Melayu sendiri untuk menentukan adakah hak itu perlu dikekalkan selama-lamanya atau hendak melucutkannya apabila mereka boleh berdiri tanpa sokongan orang lain."
Tetapi Tun Dr. Ismail dengan tegas telah mengingatkan orang-orang Melayu bahawa mereka tidak boleh berjuang tanpa memperdulikan undang-undang untuk menyelamatkan bangsa. Perjuangan dengan mengenepikan undang-undang akan merosakkan orang-orang Melayu sendiri. "Kalau kita sendiri orang-orang Melayu tidak patuh kepada undang-undang, maka orang-orang lain akan bertindak lagi," katanya.
Berita interbiu khas saya dengan Tun Dr. Ismail itu menjadi lead muka satu Utusan Melayu keluaran 17 Julai 1969 dan disiarkan sepenuhnya di dalam Utusan Melayu I keluaran 18 Julai.”
SAYA ULANG!!! Kata-kata bekas TPM Tun Dr Ismail, “…. secara terus-terang mengakui kecuaian Kerajaan Perikatan di masa lalu dalam mengawasi dengan betul AGAR TIDAK ADA MANA-MANA PIHAK MENYENTUH HAK ISTIMEWA ORANG-ORANG MELAYU YANG TERMAKTUB DI DALAM PERLEMBAGAAN dan tentang kerajaan berlembut dalam melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan.”
Harus diingat, api ketika kecil menjadi kawan tetapi apabila besar menjadi lawan. Ketika keadaan sudah tidak terkawal, mereka yang mengapi-apikan sentimen perkauman tidak akan mengaku bertanggungjawab seperti ketika berlakunya insiden 13 Mei 1969. Semua pihak tidak mengaku menjadi punca rusuhan kaum terbesar di negara ini.
Perkara ini turut disentuh oleh ZAM dalam buku sama dengan menulis, “.. apabila sampai berhampiran dengan Pejabat Cetak Kerajaan di Jalan Chan Sow Lin, saya memberhentikan motokar bila melihat pemberita Utusan Hamzah Sulaiman dan seorang jurugambar pulang dengan van Utusan dari sidang akhbar Doktor Tan Chee Khoon pemimpin Parti Sosialis Front ketika itu. Saya menahan van ini dan turun bertanya kepada pemberita itu tentang sidang akhbar itu. Hamzah memberitahu saya bahawa Doktor Tan Chee Khoon menyatakan bahawa beliau tidak bertanggungjawab atas apa yang akan berlaku pada petang ini.
Kesabaran orang Melayu ada garis akhirnya dan janganlah sesiapapun menidakkan hakikat bahawa, mencegah itu lebih baik dari mengubati. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.
Sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina tahun ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar semua pihak menghentikan perbuatan menyemarak isu perkauman dan agama di negara ini. Baginda bertitah, setiap insiden yang ditafsirkan secara negatif menurut dimensi kaum dan agama meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan.
Menurut baginda, pelbagai provokasi keterlaluan membabitkan isu perkauman dan agama ibarat satu bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.
Soal Baginda, "Apakah kepuasan yang bakal dihirup sekiranya darah warga membasahi bumi, mayat bergelimpangan, bangunan terbakar dan kenderaan hangus dijilat api? Suhu panas ini wajib segera diturunkan. Perbuatan menyalakan api perkauman, perbuatan meniupkan bara permusuhan antara agama wajib dihentikan tanpa berlengah."

Comments
Post a Comment