BUKAN LAGI SOAL CINTA
Siapapun yang menang walaupun ditawarkan bulan dan bintang, hidup rakyat tetap sama. Yang pasti adalah pemenang akan menjadi wakil rakyat bergelar YB, mendapat gaji dan kemudahan setara dan anak isteri gembira dengan kejayaan tersebut.
Alangkan pilihanraya umum berlaku pertukaran kerajaan persekutuan pun harapan rakyat dan janji utama yang diharapkan rakyat tidak mampu ditunaikan, inikan pula sekadar Pilihanraya Kecil (PRK) di mana gudang-gudang janji berselerak.
Tidak perlu berjanji untuk menjadi harimau seperti dinyatakan Muhyidiin atau gergasi kerana ianya memerlukan belanja besar disebabkan harimau dan gergasi makan kuat sedangkan pendapatan rakyat sedikit.
Rakyat mengharapkan dengan bertukar kerajaan sekurang-kurangnya subsidi minyak dikekalkan untuk seluruh rakyat menikmatinya kerana sebelum ini di zaman penyamun Najib subsidi ditarik atas alasan paling tidak munasabah. Alasan Najib kononnya dengan pemberian subsidi akan menyebabkan meningkat aktiviti penyeludupan bahanapi dan barangan kawalan bersubsidi ke negara jiran. Beban kenaikan harga bahanapi bukan soal B40, B50, B60 atau B70. Ia soal kesusahan didepani rakyat angkara inflasi gagal dikawal berpunca daripada gelembung kenaikan harga minyak. KPDNHEP ada pun macam tak ada dan menterinya lebih menumpukan soal parti dari kepentingan rakyat.
Menyentuh soal penyeludupan bahanapi dan barangan kawalan di sempadan ketika alasan subsidi direntap oleh rejim kleptokrat Najib, apa guna ada Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang sekarang ini dinamakan AKSEM? Kerja mencegah penyeludupan jika gagal ambil tindakan. Sebaliknya agensi ini di'upgrade'kan lagi dan pangkat dinaikkan dengan segala kemudahan ditambah sedangkan kegiatan penyeludupan terus berlaku sehingga sekarang walaupun subsidi direntap dari rakyat.
Zahid Ponorogo dengan bangganya merasmikan AKSEM menggantikan UPP sedangkan hasilnya tetap sama dan penyeludupan berterusan malah semakin biak. SPRM tampil dengan video CCTV bagaimana penyeludupan berlaku di hadapan pihak berkuasa. Tanggungjawab mencegah penyeludupan bukan sahaja dikawal oleh UPP, Kastam juga dengan Unit Risikannya, PGA dengan unit risiknya tetapi tetap berlaku penyeludupan yang tidak memerlukan risikan kerana berlaku di depan penguatkuasa hinggakan Kassim Selamat yang buta geleng kepala.
Saya petik semula ucapan Tun Mahathir dalam ucapannya sewaktu menyampaikan Syarahan Umum Peringkat Kebangsaan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) anjuran Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa UMP pada 15 September 2011 berkaitan soal ini.
Kata beliau, "Ramai yang bertanya kepada saya, siapakah pemimpin yang menjadi contoh kepada saya? Saya agak malu untuk menyatakannya. Pemimpin yang saya contohi ini bukanlah seorang pemimpin yang baik sangat. Beliau ialah Peter The Great, Czar Peter The Great. seorang pemimpin Rusia. Beliau -seorang pemimpin yang sangat garang lagi kejam. Salah satu cara untuk menghibur hatinya adalah dengan menggunakan kapak untuk memotong kepala orang yang bekerja di bawahnya, termasuk para jeneralnya yang gagal menjalankan tugas. Sekiranya kita menonton filem berkenaan Peter The Great, kita akan dapat melihat sikap dan perwatakannya yang sebenar. Umpamanya, cara beliau menamatkan riwayat seseorang . Sambil mcmegang sebilah kapak, beliau bercakap dan memberitahu kepada salah seorang jeneral yang hendak dibunuhnya, bersarna-sama dengan alasan kenapa dia mesti dihukum bunuh. dan kemudian barulah kepala jeneral tersebut dipenggal. Inilah pemimpin yang saya hormati - bukan kerana kegemarannya memotong kepala orang. Sebaliknya, cara dan kaedahnya dalam membangunkan sebuah negara yang asalnva sangat mundur, tetapi akhirnya menjadi sebuah negara moden yang disegani dan kuasa dunia yang kedua. Itulah kejayaan Peter The Great."
Malangnya di negara kita bukan agensi dan petugas yang gagal dihukum, sebaliknya diangkat dengan memberi pangkat dan pelbagai habuan sedangkan subsidi untuk rakyat dibolot atas alasan paling bodoh dan tidak masuk akal. Rakyat tidak minta kepala pegawai dan anggota UPP atau AKSEM dipenggal, sebaliknya ambil tindakan atas kegagalan itu bukan hukum rakyat atas kegagalan mereka.
Jika tukang cuci diupah untuk mencuci gagal mencuci sepertimana diharapkan, apakah kita akan menaikkan upah atau menamatkan kerja beliau dan menggantikan dengan orang lain? Jangan pula pengganti tukang cuci itu yang dipotong gaji atas kegagalan tukang gaji pemalas itu.
Pilihanraya adalah lambang sesebuah negara mengamalkan sistem demokrasi dan kata Tun Mahathir lagi, "Sistem demokrasi yang utama ialah hak bagi rakyat memilih pemimpinnya. Bukan soal kebebasan bersuara, soal kebebasan media, ataupun lain-lain hak asasi manusia, Yang utama dalam sebuah negara demokrasi ialah hak bagi rakyat memilih pemimpin. .... The people deserve the goverment that they vote. Jadi kita yang memilih kerajaan. kalau kita ditadbir oleh kerajaan yang tidak baik, maka yang demikian adalah salah kita" kata Tun Mahathir. Tambah beliau lagi, Tidak perlu menyalahkan orang lain atau sistem demokrasi. Kita yang memilih dan membuat pilihan, maka kita yang harus bertanggungjawab. Sekiranya kita menderita kerana pilihan yang tidak baik itu, maka kitalah yang perlu bertanggungjawab."
Rakyat sudah muak dengan oportunis-oportunis yang berkubang dalam kubang politik. Seperti disebut Anbakri, "Bagi oportunis totok, setiap hari yang baru adalah peluang terbuka baginya menyelit kepentingan diri dalam setiap rekah kesempatan. Bertuhankan kepentingan itu, dia boleh melakukan kesilapan lalu tiada masalah bermohon maaf."
"True leadership must be for the benefit of the followers, not the enrichment of the leaders" kata Robert Townsend.
Kita sudah memilih dan menghukum penyamun-penyamun yang sebelum PRU14 menyamun tanpa segan dan silu hak rakyat. Sekarang juga rakyat sudah tidak merasa kesal untuk memilih siapapun samada parti mana atau calon mana kerana rakyat tidak lagi dara, siapa masuk meminang kena dengan hasrat rakyat, terima saja bukan lagi soal CINTA.

Comments
Post a Comment