INI BUKAN TSUNAMI TETAPI MINAMI, MASDO DAN AMORE


Skrip drama setiap kali pilihanraya sejak sekian lama apabila kalah mesti berbunyi, “kami terima dengan hati terbuka.” Rakyat langsung tak peduli samada yang kalah terima dengan hati terbuka atau hati tertutup kerana hati terbuka itu hanya ketika tersungkur. Rakyat juga tak peduli jika yang menang berjanji itu ini asalkan dapat mengajar pihak yang kalah. Bak kata sahabat seorang ini, rakyat bukan seronok BN menang, tapi seronok PH kalah!”

Malah rakyat pun tak kisah jika kekalahan ini dianggap sepahit jadam atau semanis gula untuk ditelan. Kata seorang menteri bahawa “Rakyat sudah bersuara. Suara Rakyat, Suara Keramat.” Sebenarnya rakyat sudah bersuara agak lama sebaik PH tumbangkan kerajaan syaitan penyamun dalam PRU14 yang lalu. Ketika itu juga sudah sama nadanya ‘Suara Rakyat, Suara Keramat.’

Rakyat tidak mahu mendengar kononnya janji PRU14 sudah 51% ditunaikan jika yang ditunaikan itu tidak menampakkan perubahan pada kehidupan mereka khususnya dari perspektif ekonomi. Kaum Cina tidak peduli siapa memerintah samada PAS, UMNO mahupun Taliban asal mereka dapat keuntungan dari perniagaan yang mereka ceburi. Sebab itulah mereka tidak kisah menyokong arwah Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan kerana mereka dapat berniaga seperti biasa malah yang paling penting, pelincir dan ‘tumbuk rusuk’ atau ‘duit kopi’ tidak seganas ketika UMNO memerintah Kelantan dulu.

PH perlu mendengar rintihan seluruh rakyat bukan sahaja segelintir yang dianggap susah bermain di bibir semuanya untuk B40 kerana selain beban kehidupan yang semakin parah melanda tidak sahaja B40, nikmat sedikit seperti subsidi bahanapi pun selain B40 dimangsakan seolah-olah kaya-raya sedangkan beza antara satu kumpulan dengan satu kumpulan jurangnya kecil dan mungkin beban bukan B40 lebih besar kerana anak ramai berbanding yang tergolong dalam kelompok B40. Yang mengundi PH menumbangkan penyamun bukan sahaja B40 tetapi seluruh rakyat yang ‘meluat’ dan geli-geleman dengan penyamu-penyamun yang menerajui rejim kleptokrat tersebut.

Selain itu rakyat sudah lama bersuara tentang prestasi menteri, timbalan menteri, exco kerajaan negeri dan menteri besar kerajaan PH yang umpama ada tak menokok, tak ada pun tak berkurang. Yang jelas kelihatan adalah fokus terhadap aktiviti parti masing-masing yang ternyata mengkhianati janji kepada rakyat kerana gaji dan segala keistimewaan dikecapi hasil titik-peluh rakyat bukan untuk tujuan tersebut.

Bagi orang Melayu, desakan demi desakan pemimpin bukan Melayu dalam PKR khususnya DAP yang menyentuh keistimewaan bangsa Melayu amat melukakan hati seluruh bangsa Melayu. Apa yang berlaku baru-baru ini dalam kes LTTE yang seolah-olah memihak kepada kaum India sedangkan Siti Aishah yang terkial-kial seorang diri berdepan kes lebih-kurang sama cuma satu berkaitan dengan Jihad kelompok militan Islam dan satu lagi pengganas atau militan LTTE.

Apabila mereka bandingkan kes Siti Aishah dengan penunggang ‘kicap’, ianya tergambar seolah-olah kenapa begitu tajam terhadap pesalah Melayu yang didakwa memiliki buku berkaitan keganasan yang dijual di pasaran tidak disenaraikan atau disekat sedangkan amat tumpul terhadap ‘kicap-kicap’ ini memiliki bahan terlarang yang tidak ada di pasaran kecuali pasaran gelap? Rasa simpati terhadap Siti Aishah tidak sedikit membuat bangsa Melayu negara ini marah terhadap kerajaan sedangkan yang menjadi petualang adalah pihak lain.

Perkara paling penting yang rakyat tertunggu-tunggu adalah melihat penyamun utama dan kuncu-kuncunya disumbat ke penjara atas salahguna kuasa dan penyamunan khazanah negara dan wang rakyat secara luarbiasa yang belum pernah berlaku dalam mana-mana tempat di bumi ini dan ianya janji PH kepada rakyat. Sehingga kini masih terhegeh-hegeh yang entah bila jemuan-jemuan ini akan berkampung di sebalik jeriji. Rule of law rakyat pun faham bukan lah sebodoh disangka dan rakyat juga mahu hak mereka yang dituduh diberikan sewajarnya tetapi keadilan perlu disegerakan. Ini sehinggakan suspek utama boleh bebas-lepas ke sana sini trol itu ini, berkempen walaupun menipu sakit mata. Bayangkan mahkamah sudah diperlekehkan oleh bangsat ini dengan permainan sebegitu remeh.

Kesilapan besar dilakukan PH adalah melengah-lengahkan usaha memberi keadilan kepada rakyat dengan menyegerakan kes jemuan-jemuan ini. Mungkin balaci pemimpin PH yang kenyang dan buntal melahap habuan setelah PH menang berkata perlu ikut giliran, ikut mahkamah dan sebagainya. Tetapi kes sepenting ini dilihat diperlakukan seperti tidak penting. Musuh yang hampir terduduk jika dibiarkan pulih tenaga dan semangat kembali menopang, alamatnya bahaya besar menanti.

Seperti gusti mahupun sukan badminton, ketika musuh sudah kepenatan dan terhoyang-hayang, ketika itulah peluang yang ada tidak disia-siakan untuk membenam terus agar tidak bangkit kembali menyerang. Persada politik sama juga seperti pertempuran yang jika salah urus, berputih-matalah alamatnya.

Jika perkara yang kerajaan tidak mampu laksanakan rakyat boleh faham tetapi jika yang boleh laksanakan pun dilihat seperti pandang sebelah mata, maka jangan marah dan kecewa jika rakyat pun hilang selera terhadap PH. Janji untuk mendedahkan misteri kehilangan MH370, kes pembunuhan model Mongolia Altantuya, pembunuhan Kevin Morais dan Husin Najadi, misteri Sirul dapat meloloskan diri ke Australia, Misteri Razak Baginda dapat bebas walaupun bukti menjurus kepada beliau dan saspek utama, skandal pembelian kapal selam scorpene dan kehilangan enjit jet tentera kita, penjualan aset dan tanah pihak tentera dan banyak lagi masih diselubungi misteri. Rakyat tidak meletakkan syarat mesti orang itu dan ini dihukum sebagai pembunuh dalam kes-kes tersebut tetapi jika bukan orang itu, buktikan di mahkamah dia tidak terlibat agar persepsi dan spekulasi terus berkobar.

Kita dapat menjangkakan sejak awal lagi janji pemimpin PH kononnya akan membongkar semua ini tetapi walaupun kita agak skeptikal soal ini, harapan tinggi tetap diletakkan ke bahu pemimpin PH untuk merealisasikannya. Ke mana lagi harapan rakyat mahu disandarkan?

Kita tahu bahawa sejak Najib, Zahid sehinggaah Hishamudin menerajui kementeria pertahanan berlakunya semua perkara ini dan semestinya pemimpin tinggi tentera juga ada terpalit dengan skandal tersebut. Sebaik dilantik sebagai menteri pertahanan, diusung dan dijulang oleh jeneral-jeneral ini naik jet pejuang, naik kapal laut masak itu ini atas kapal dan macam-macam lagi, semangat membongkar sudah jadi Semangat 46 mati tanpa nisan. Hang Jebat sudah bertukar jadi Hang Musibat bila sudah khayal dengan kekuasaan.

Akhir sekali, rakyat juga dapat melihat dan sedar permainan PKR dan DAP yang mahu melihat PH tewas di Tanjung Piai bagi dijadikan modal dan momentum mendesak Tun Mahathir berundur sebagai perdana menteri dengan memberi laluan kepada perancang utama konspirasi yang sering mendakwa beliau mangsa konspirasi.

Secara tulus-ikhlas, rakyat berterima kasih atas kejayaan menumbangkan rejim penyamun tetapi pada masa sama rakyat berharap mereka segera diadili dan dihukum sesuai dengan kesalahan mereka. Dan rakyat juga mengharapkan supaya beban kos sara hidup serta masalah bersangkutan seperti kejatuhan nilai mata wang, pengangguran, jenayah dan sebagainya diatasi dengan sedaya upaya.

Mana pergi rumusan majlis penasihat yang berperanan menasihat kerajaan sebaik kerajaan baharu ditubuhkan? Akhirnya semua sudah kembali seperti asal bak kata orang lama, kicap lupus tarikh hanya berganti botol baru. Jika benar ekonomi terlalu parah, tidak nampak soal gaji dan elaun menteri dipotong, tidak nampak perjalanan menteri kabinet termasuk PM dan TPM khususnya ke luar negara dihadkan. Segala kemudahan di zaman penyamun kekal sehingga kini.

Apabila rakyat mengkritik termasuk terhadap menteri ketika PRK Tanjung Piai, wah sedap dibalas kononnya rakyat hanya pandai picit-picit hp menggunakan alasan sama seperti kata puteri UMNO membidas Fathia Latif, “Setakat tekan tekan picit picit hp tak payah tak payah”. Rakyat trol dan sindir menteri itu maknanya rakyat masih hormat menteri dan ianya sebagai teguran supaya jangan dilakukan lagi.

Bukan rakyat maki-hamun menteri tetapi jika trol dan sindir seperti itu pun tak boleh, apa kamu fikir rakyat makan upah atas pengandar macam kamu? Inilah puncanya pemimpin semakin jauh bermimpi dan tersasar kerana ‘barua-barua’ yang merasa besar dengan kedudukan mereka mengambil alih tugas ‘Little Napoleon’ sehingga akhirnya bukan sahaja pemimpin-pemimpin dan ‘barua-barua’ ini tersingkir, malah kerajaan yang diangkat oleh rakyat menentang syaitan kleptokrat juga akan ‘BUNGKUS’.

Soal Wee Jeck Seng memenangi kerusi parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi bukan persoalannya dan rakyat tidak peduli kerana kalah satu undi tetap kalah. Yang rakyat peduli adalah jangan biarkan kerajaan yang ada ini seperti Kerajaan Langit Ayah Pin ikut suka hati memperbodohkan rakyat sehinggakan minum air basuh kaki Si Tua Gila tersebut. Mana pergi Si Tua itu sekarang? Dah ke langit ke tujuh agaknya..

Comments

Popular posts from this blog

ALAHAI PENGHULU!

SIAPA KENCING SEBENARNYA?

KENAPA UMNO/PAS GUNA ISU BANGSA DAN AGAMA?