PEMBURU KUASA
Siang tadi saya sempat membaca bab sepuluh buku berjudul ‘Sudut Pandangan’ karya Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra. Dalam bab diberi judul Pemburu-Pemburu Kuasa ini, saya seakan-akan melihat keadaan sama sedang berlaku di pentas politik negara yang kita cintai ini.
Apa yang saya maksudkan adalah berkenaan dengan makhluk-makhluk di sekeliling Perdana Menteri dan tidak salah untuk mengaitkan dengan menteri-menteri juga. Menurut Tunku dalam buku ini, beliau menceritakan bagaimana ketika Tun Hussein Onn dilantik sebagai Perdana Menteri, media melaporkan bahawa Perdana Menteri membuat ucapan mengkritik pegawai-pegawai perkhidmatan awam pada hal beliau tidak berbuat demikian.
Perdana Menteri menegaskan bahawa ianya bukan salah pihak akhbar tetapi kesalahan pihak yang menyediakan draf ucapan beliau yang belum dipersetujuinya tetapi draf ucapan ini telah diedarkan terlebih dahulu kepada pihak media tempatan. Kata Perdana Menteri, beliau tidak ada membuat kritikan tersebut sewaktu berucap di majlis makan malam yang dimaksudkan. Beliau tidak menggunakan draf yang diedarkan kepada media sebaliknya menggunakan ucapan yang beliau tulis sendiri.
Perdana Menteri terpaksa meminta maaf kepada pegawai-pegawai perkhidmatan awam atas kejadian yang mendukacitakan itu. Memetik tulisan Tunku, “Nyatalah bahawa apa yang terkandung dalam "ucapan" yang diedarkan lahir dari fikiran orang yang menyediakan draf itu.” Selepas peristiwa tersebut, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Encik Abdul Wahab Majid, mengaku kesilapannya berhubung pengedaran "ucapan" Perdana Menteri itu. Menurut beliau , draf ucapan yang telah dibuatnya itu diluluskan oleh Timbalan Ketua Setiausaha, dan draf itu diserahkan kepada Perdana Menteri. Kerana menyangka sudah tentu ucapan itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, beliau pun menyerahkannya kepada Jabatan Penerangan untuk diedarkan kepada media.
Menurut Tunku dalam bab ini, sepanjang ingatan beliau, ini bukanlah kali pertama kesilapan begini berlaku. Pada 23 Mac 1976, tersiar berita yang menggemparkan di radio dan televisyen bahawa Jawatankuasa Tertinggi UMNO dan Pemuda UMNO telah bersetuju tentang pemecatan Datuk
Harun Idris dari jawatan Menteri Besar Selangor dan jawatan Ketua Pemuda UMNO, sedangkan keputusan berhubung kes Datuk Harun belum dibuat oleh badan-badan ini.
Pada waktu itu Pemuda UMNO sedang bermesyuarat di rumah Datuk Harun, dan mereka sedang bercadang menemui Perdana Menteri malam itu untuk memohon beliau menangguhkan sebarang tindakan yang mungkin diambil oleh Jawatankuasa Pusat UMNO ke atas Datuk Harun. Berita itu tidak benar dan pihak yang bertanggungjawab menyebarkannya telah berbuat demikian tanpa mendapat persetujuan Perdana Menteri.
Tambah Tunku lagi, beliau masih ingat beberapa peristiwa lain, ketika Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Tun Dr. Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri, apabila mereka dikatakan membuat kenyataan-kenyataan yang sebenarnya tidak mereka buat. Tunku berkata mereka yang bertanggungjawab itu telah melakukan ‘kecuaian besar’ dan kegagalan serius dalam menjalankan kewajipan mereka .
Menurut Tunku, “inilah yang saya maksudkan bila saya menyebut tentang orang-orang di keliling Perdana Menteri yang cuba mendapat kuasa dengan memperalatkan beliau, dan ini adalah salah satu cara mereka menjayakan tujuan mereka. Perdana Menteri sedar tentang adanya mereka ini, tetapi
beliau tidak dapat mengawal tindak-tanduk mereka. Tidak syak lagi bahawa keperluan berwaspada ini melipatgandakan beban kerja yang terpaksa beliau tanggung sambil menjaga kepentingan negara, terpaksa pula menjaga keselamatan jabatannya jangan dimakan "anai-anai" dari dalam. Jelas sekali bahawa "peristiwa" itu mereka kendalikan supaya Perdana Menteri menyuarakan hasrat mereka di khalayak ramai, meskipun ini akan menimbulkan sambutan yang tidak diingini dari anggota-anggota perkhidmatan awam, dari parti dan dari rakyat.”
Tunku menegaskan, masalah utama yang beliau telah nyatakan secara terbuka sebelum ini, ialah bahawa Perdana Menteri dikelilingi oleh orang-orang yang kesetiaannya harus dicurigai, yang bercita-cita hendak menggunakan kuasa sama ada untuk tujuan-tujuan politik mereka atau untuk keuntungan diri sendiri, dengan menggunakan nama Perdana Menteri. Jika orang-orang begini dapat meresap masuk ke jawatan-jawatan tinggi dan mendapat kepercayaan Perdana Menteri, keberadaan mereka di situ boleh menjadi ancaman serius terhadap keselamatan dan kesejahteraan negara.
Tambah Tunku juga, “Kita dapati ramai orang yang gila kuasa dalam parti pemerintah, di kementerian-kementerian dan dalam jawatan-jawatan tinggi atau menjadi orang-orang kepercayaan orang-orang yang cuba menegakkan kuasa dan mencapai tujuan-tujuan sendiri dengan menggunakan nama dan jawatan Perdana Menteri.”
Mereka inilah dilabel oleh Tunku sebagai ‘Pemburu-pemburu Kuasa’ yang merbahaya bukan sahaja kepada Perdana Menteri tetapi juga kerajaan. Moralnya di sini, apa yang sedang berlaku sekarang di keliling Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri serta Exco Kerajaan Negeri sudah pun disebut oleh Perdana Menteri Pertama sejak sekian lama namun siapa yang peduli?
Akhirnya, berlakulah sindrom U ‘Turn’, ‘Yoyo’ dan Ayoyo yang memalukan kerajaan dan Perdana Menteri. Namun, ianya mungkin merupakan taktik dan strategi seseorang untuk menjatuhkan Perdana Menteri seperti disebut Tunku sebagai golongan subversive dalam kerajaan dan parti.
Sama-sama kita renungkan dan berfikir apakah pengorbanan rakyat untuk menumbangkan rejim kleptokrat sebelum ini adalah pengorbanan sia-sia? Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pernah berkata, “We call upon all Malaysians, irrespective of race, religion, political situation, creed or parties, young and old, to join us in saving Malaysia from the government headed by Najib Razak. We must rid ourselves of Najib as prime minister. If he’s allowed to go on, the damage will be worse and worse.” Oleh yang demikian, mudah-mudahan jangan sampai keluar dari mulut buaya, kembali ke mulut naga.
Selamat Malam…

Lucky Club Casino Site & Login – Live Dealers - LuckyClub.live
ReplyDeleteLucky Club casino site. Lucky Club. Welcome to luckyclub.live our website with special welcome bonuses and fast payouts. Lucky Club casino site.