LATHEEFA SNOWDEN
Sejak semalam isu politik dan sembang kedai kopi khususnya di media sosial banyak berkisar kepada pendedahan 9 klip rakaman audio perbualan apa yang didakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai “konspirasi jenayah” besar untuk mengganggu proses keadilan berhubung penyiasatan 1MDB.
Susulan pendedahan tersebut, bermacam-macam reaksi dan kenyataan yang dibuat berhubung perkara tersebut dari pelbagai pihak tidak kira institusi atau orang perseorangan. Malah mereka yang tidak pernah lihat buku-buku undang-undang pun seakan-akan sudah berubah menjadi barisan peguam dan hakim yang bijaksana. Nasib baik tidak memakai jubah dan wig. Mentang-mentang Najib cetuskan slogan ‘transformasi’, semua sudah transform jadi pengamal undang-undang.
Apapun, dalam usaha menyuburkan demokrasi khususnya kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan, ia bukanlah masalah besar selagi tidak menghasut mana-mana orang melakukan kesalahan bertentangan dengan undang-undang.
Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan apa yang melantun-lantun dalam fikiran saya di luar premis undang-undang. Rasanya ia tidak salah sama seperti seseorang menyatakan apa dilakukannya dalam mimpi. Membunuh, merompak atau merogol pun dalam mimpi tidak menjadi kesalahan selagi ianya tidak diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
Apabila tidak sedikit yang menyuarakan pandangan tentang tindakan KP SPRM itu sebagai bertentangan dengan ‘rule of law’, meletakkan negara dalam konflik dengan UAE, perbualan suami isteri tidak boleh diterima di mahkamah dan sebagainya maka saya mengambil pendekatan bersetuju untuk tidak bersetuju demi meraikan perbezaan pendapat.
Di bawah seksyen 26. (1) Akta Keterangan 1950 menyebut, “Tertakluk kepada apa-apa peruntukan nyata yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, tiada pengakuan salah yang dibuat oleh mana-mana orang semasa dia berada dalam jagaan seseorang pegawai polis boleh dibuktikan bagi menentang orang itu melainkan jika pengakuan salah itu dibuat di hadapan seorang Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret.” Namun demikian, bukti-bukti yang diberi kepada pihak polis ketika dalam tahanan boleh diterima seperti bagaimana pisau digunakan dalam kes bunuh itu mempunyai kesan jari dan sebagainya milik beliau. Oleh itu, biarkan proses undang-undang berjalan seperti yang mereka mahu iaitu ‘rule of law’ dengan menjadikan mahkamah sebagai medan menentukan tindakan KP SPRM itu betul atau salah. Lagipun, selama ini bukan ikut sangat pun ‘rule of law’ tu.
Saya tidak bercadang untuk bercakap soal undang-undang kerana sudah banyak yang diperkatakan oleh begitu ramai orang tidak kira samada ianya betul atau tidak. Bagi saya, saya serahkan kepada kebijaksanaan cabang kehakiman menafsirkannya nanti setelah pihak polis dan pejabat peguam negara membawanya ke mahkamah.
Apa yang ingin saya sentuh adalah, bercakap soal ‘rule of law’, selama ini sejak zaman sebelum Pakatan Harapan (PH) memerintah sehinggalah detik ini, apakah ‘rule of law’ dijunjung dan didaulatkan? Bercakap soal ‘rule of law’ memang setiap hari kita terbaca dan dengar tapi dari sudut perlaksanaannya?
Kita terpekik-terlolong ‘rule of law’, pada masa sama kita biarkan yang mencuri sardin, pisang sesikat dan susu setin untuk diberi kepada anak-anaknya yang kelaparan terus ditangkap dan dipakaikan baju oren atau ungu keesokan pagi dengan bergari diheret ke mahkamah turun dari ‘black maria’ dan kemudian terus dijatuhkan hukuman penjara setahun atau 18 bulan.
Sedangkan penyangak dan penyamun puluhan bilion ringgit bertopengkan Perdana Menteri, isteri Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, pengerusi Lembaga Urusan Tabung Haji dan FELDA atau yayasan itu dan ini dibiarkan bertali leher lengkap suit, berbaju kurung penuh permata datang dengan pemandu peribadi dan kereta mewah tersengih-sengih tanpa gari segar-bugar. Kereta kerajaan lagi dengan diiring pengawal peribadi.
Di mana mereka yang menjerit soal ‘rule of law’ dalam kes mereka yang mencuri sardin, pisang, susu dan duit tabung masjid RM18? Mana peguam-peguam handal dan suci konon memperjuangkan soal ‘rule of law’ tersebut? Semuanya sudah disumpah Sang Kelembai menjadi batu dan hanya muncul membela penyangak-penyangak yang merompak khazanah negara, wang rakyat tak kira KWSP, Tabung Haji, wang anak yatim dan sebagainya. Keadilan apa sebenarnya yang mahu dibuktikan?
Saya bersetuju dengan tindakan Latheefa Koya KP SPRM ini bukan kerana kebencian meluap-luap terhadap Najib, Zahid, Rosmah atau gerombolan penyangak-penyangak bersama mereka. Tetapi daripada membiarkan rakyat tumbuh janggut atau bulu dalam kain hingga mencecah tanah untuk melihat penyangak-penyangak ini dihumban ke penjara, sekurang-kurangnya sebelum sakaratulmaut, dapat juga mencerna dan menghadam dalam fikiran bahawa apa yang disangka selama ini ada benarnya walaupun menunggu hakim memutuskannya entah bila.
Biar rakyat merasa menjadi hakim negara seperti slogan ‘Rakyat Hakim Negara’ dengan senyum simpul dan sinis menghukum penjenayah yang mereka fikir bersalah sambil berkhayal seperti Pak Kaduk yang ayamnya menang tapi sebenarnya sudah ditukar kepada raja dan bertelanjang bulat koyak rabak pakaian kertasnya asal puas hati.
Sejak bila ‘rule of law’ didaulatkan? Sejak bila undang-undang dihormati? Biarlah penyangak mendapat layanan seperti penyangak juga kerana hukum itu terlalu tajam ke bawah dan amat tumpul ke atas. ‘An eye for an eye’ kata aci jual sireh tepi jalan. Soal mahkamah akan terima atau tidak biarlah masa menentukan.
Buktikan satu kes melibatkan ‘public interest’ yang sudah berhasil memberi keadilan untuk dilihat oleh rakyat bagi membuktikan ‘rule of law’ subur di negara ini. Kes Gopi di Melaka melibatkan pegawai-pegawai tinggi PDRM senyap sunyi, kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Sabah yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM. Bukannya kecil rampasannya di mana SPRM merampas RM75 juta daripada pejabat, rumah dan akaun bank kedua-dua suspek tersebut dan keluarga mereka. Yang sering dilihat adalah anggota polis pangkat rendah ambil wang RM50 atau RM100 ditangkap dan dibuang kerja sedangkan yang berbintang dan berpaku-paku atas bahu buncit perut hasil korupsi bukan direntap pangkat sebaliknya bertambah banyak atas bahu.
Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan dengan sengaja gagal mengisytiharkan perolehan harta, tujuh tahun lalu. Ini betul-betul ‘rule of law’.
Kes pembunuhan model Mongolia Altantuya, Kevin Morais, Hussain Najadi sehingga sekarang masih menghantui rakyat dan menjadi misteri walaupun sekali sekala muncul mewarnai pentas Maharaja Lawak Mega. PI Bala juga tak pasal-pasal terima bala meninggal dunia secara misteri.
Apalah sangat salah Latheefa Koya nak dibandingkan dengan perbuatan penyangak-penyangak bertaraf super penyamun ini yang meliwat hukum dan memperkosa sistem pemerintahan sehingga berulat dengan rasuah dan salah-guna kuasa.
Jika kita tidak nyanyuk, tentu kita akan ingat dengan sosok Edward Snowden yang merupakan salah seorang whistleblower paling popular di dunia selepas membongkar dan membocorkan beberapa maklumat sulit yang disimpan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Masa pembongkaran tu dilakukan pada tahun 2013 dan beliau merupakan salah seorang pekerja Central Intelligence Agency (CIA), bertugas sebagai pakar keselamatan siber.
Salah satu maklumat sulit yang dibongkarkan oleh Edward Snowden adalah program pengawasan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, disokong oleh beberapa lagi negara berkuasa besar, menggodam data peribadi penduduk dunia terutama sekali individu berprofil tinggi melalui e-mail, sistem pesanan ringkas dan penjejakan lokasi menerusi penggunaan telefon bimbit termasuklah ‘wire-tapping’.
Kerja memintas perbualan telefon ini bukan sesuatu yang luarbiasa dalam dunia perisikan dan janganlah terlajak terkejut kerana sudah menjadi rahsia umum cuma beralaskan spenda stopa. Sekurang-kurangnya bagi yang kurang mempunyai ‘probing mind’ dapat jugalah mengetahui apa yang sedang berlaku dalam dunia realiti di luar sana.
Biarkan Latheefa Snowden membakar lilin untuk menerangi kegelapan yang selama ini terus disembunyikan oleh elit berkuasa dan tanpa rasa malu meminta perbuatan salah mereka dibuktikan. Apabila dibuktikan, lain pulak iramanya. Mentang-mentang penipu besar, semua penipuan nak dibolotnya. Bagilah aku sikit nak menipu Najib oii!!
Kata Ibnu Taimiyah, “Enam puluh tahun di bawah kekuasaan kepala negara yang zalim, lebih baik daripada satu malam tanpa kepala negara”. Apakah kita punya kepala negara selama Najib berkuasa? Jangan-jangan, ‘darling’ yang berkuasa?
Apapun pengajaran yang datang kepada manusia, ia hanya akan bermanfaat jika kita memanfaatkan akal serta berusaha keras menjauhi kezaliman. Menurut Hamka, “kezaliman terbahagi dua, pertama berbuat zalim, kedua membiarkan kezaliman berlaku. Kedua-duanya sama di luar keadilan”.
Ada masanya ‘we have to be cruel in order to be kind’. Sementelah kita berurusan dengan makhluk yang zalim seperti ‘darling’ dan ‘saka’ serta ‘ponorogo’ blue osen. Jangan kecoh sangat soal ‘wire tapping’ ini kerana jika pemerintah mahu lakukan, bukan itu saja boleh dilakukan, baca buku ‘Who's Watching You’ dan selamat merasa seram-sejuk betapa kehidupan kita sentiasa penuh dengan mata yang memerhati dan tahu apa kita lakukan.
Ingat apa disebut Snowden, "When exposing a crime is treated as committing a crime, you are being ruled by criminals".

Comments
Post a Comment